Projek penjanaan semula kewangan Evadore tersenarai di bursa mata wang kripto | DagangNews Skip to main content

Projek penjanaan semula kewangan Evadore tersenarai di bursa mata wang kripto

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Evadore, ekosistem penjanaan semula kewangan (ReFi) yang transformatif oleh EvaLabs, kini disenaraikan di bursa mata wang kripto terkemuka seperti Lbank, Bitmart, P2PB2B dan XT.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, platform tersebut menyasarkan untuk menyatukan usahawan blok rantai, syarikat permulaan dan komuniti melalui teknologi blok rantai mesra alam yang membina dunia lebih lestari.

 

“Dalam analisis ‘tekonomics’ (ekonomi token), kertas putih Evadore mencatatkan bahawa 39.045% daripada jumlah bekalan awal telah dijual dalam tawaran awal bursa (IEO), sementara peruntukan selebihnya adalah untuk pemasaran (4%), AirDrops (3%), pertaruhan ganjaran (7.5%) dan kepada Yayasan Evadore (16%),” kata pembangun Evadore, EvaLabs.

 

Evadore, satu inisiatif berasaskan EvaChain oleh EvaLabs, menyokong penggunaan prinsip ReFi – yang tertumpu kepada kelestarian, keadilan sosial dan penjagaan alam sekitar—dalam sistem kewangan blok rantai.

 

Ketua Pegawai Maklumat EvaLabs, Isiah Cargo menekankan keperluan untuk berubah dan menyatakan bahawa 87% daripada tenaga yang digunakan oleh teknologi blok rantai datang daripada sumber tidak boleh diperbaharui.

 

Menurut EvaLabs, dokumen teknikal projek ini mendedahkan rancangan bagi sistem kewangan yang beralih daripada bahan api fosil kepada kelestarian.

 

Hasil daripada ekosistem Evadore akan digunakan untuk mengurangkan pelepasan karbon, khususnya bagi membiayai projek hidroelektrik, solar dan tenaga angin.

 

Isiah Cargo juga menyatakan rancangan bagi Evadore memudahkan inisiatif pengimbangan karbon dan memerangi pembasmian hutan dengan mengumpulkan kredit karbon melalui Yayasan Evadore.

 

Ekosistem ReFi EvaLabs menyediakan pelbagai bentuk produk dan perkhidmatan kewangan yang lestari. Ini termasuklah Eva Chain, EvaStore, EvaPay, GreenWallet, EvaForest dan CarbonEva.

 

“Evadore menjemput dunia ke masa depan bebas karbon melalui rumusan blok rantai neutral karbonnya yang boleh diskalakan secara global,” ujar Isiah sambil menegaskan komitmen Evadore terhadap keseimbangan ekosistem. - DagangNews.com