Projek RTS Link dijalankan Ekovest berpotensi dorong pendapatan segmen pembinaan – Rakuten Trade | DagangNews Skip to main content

Projek RTS Link dijalankan Ekovest berpotensi dorong pendapatan segmen pembinaan – Rakuten Trade

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan – Rakutan Trade menjangkakan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang sedang berjalan mendorong pendapatan segmen pembinaan Ekovest Berhad pada masa akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata buku pesanan kumpulan itu semakin berkembang didorong oleh projek RTS tersebut yang bernilai RM1.2 bilion dan projek berpotensi seperti DUKE Fasa 2A Istana Link dan pelbagai inisiatif di Johor.

 

“Sebagai kontraktor terkemuka dan pemegang konsesi lebuh raya bertol, Ekovest bersedia untuk mencatat keuntungan menjelang tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25).

 

“Ia akan memanfaatkan sektor hartanah dan pembinaan Johor yang rancak serta potensi keuntungan daripada pengewangan lebuh raya DUKE dan penambahbaikan di seluruh segmen perniagaannya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Rakuten Trade menjelaskan bahawa rancangan Ekovest untuk mengewangkan DUKE Fasa 1 dan Fasa 2 sejajar dengan kebangkitan semula trafik ke tahap pra-pandemik dan boleh menjadi pemangkin penarafan semula yang signifikan, kerana jumlah nilai aset mungkin melebihi permodalan pasaran syarikat sebanyak 2 kali ganda.

 

“Di samping itu, Ekovest telah berjaya menyiapkan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE), yang dahulunya DUKE Fasa 3, pada November 2023. Dengan konsesi selama 53 tahun, SPE bersedia untuk berada menjana keuntungan selepas kerugian pada awal operasi,” tambahnya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata bahagian perladangan Ekovest, menerusi bank tanah seluas 40,469 hektar di Johor, bertindak sebagai satu lagi pemangkin pertumbuhan utama.

 

Menurut Rakuten Trade, pengambilalihan 62% kepentingan dalam PLS Plantations pada 2020 telah meletakkan Ekovest secara strategik dalam pengurusan kelapa sawit, hutan dan terutamanya ladang durian.

 

Di samping itu, penyusunan semula korporat Ekovest yang berterusan disasarkan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan dan mengukuhkan portfolio asetnya, di mana penstrukturan semula termasuk pengurangan harga pengambilalihan, menghasilkan pencairan lebih rendah dan pertambahan pendapatan yang lebih baik.

 

Walaupun penggearan bersih semasa syarikat sebanyak 2.26 kali ganda dianggap tinggi, Rakuten Trade berkata ia mudah ditangani dengan pelupusan DUKE Fasa 1 dan Fasa 2 yang akan mengukuhkan lagi status kewangan asas Ekovest untuk projek baharu pada masa hadapan.

 

Firma tersebut menyarankan pelabur membeli saham Ekovest dengan harga sasaran (TP) RM1.16 sesaham.

 

Setakat pukul 11:19 pagi ini, saham Ekovest tidak berganjak pada 56.5 sen, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM1.68 bilion.  - DagangNews.com