Projek Southbay Mah Sing dijangka dapat manfaat daripada projek PSI, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Projek Southbay Mah Sing dijangka dapat manfaat daripada projek PSI, kata MIDF Research

Illustrasi projek Southbay Mah Sing
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Mah Sing Group Bhd dijangka mendapat manfaat daripada projek Penang South Islands (PSI) memandangkan projek Southbay miliknya terletak di bahagian selatan Pulau Pinang, kata MIDF Research.

 

PSI adalah projek pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan kira-kira 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas yang telah menerima kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

 

Firma penyelidikan itu berkata kerja-kerja penambakan akan dimulakan pada suku ketiga 2023 di Pulau A yang akan dijadikan Taman Teknologi Hijau dan bakal memanfaatkan projek di kawasan sekitar.

 

Firma tersebut berpendapat bahawa Mah Sing boleh menyemak semula perancangan yang perlu memandangkan pembangunan kediaman pertengahan hingga mewah dijangka melengkapi Taman Teknologi Hijau yang akan dibangunkan di Pulau A PSI.

 

“Pada masa ini, baki nilai pembangunan kasar (GDV) untuk projek Southbay adalah kira-kira RM1.4 bilion dan akan ada potensi peningkatan selepas semakan pelan pembangunan projek itu,” tambahnya dalam nota hari ini.

 

Firma tersebut mengekalkan unjuran pendapatan untuk tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-25) disebabkan potensi peningkatan GDV projek Southbay dijangka memberi kesan kepada pendapatan dalam jangka panjang.

 

Menurut firma itu, Mah Sing mempunyai baki 21 hektar tanah untuk projek Southbay dengan tempoh pembangunan 8 hingga 10 tahun yang telah dirancang untuk pembangunan kediaman dan komersial.

 

“Secara keseluruhannya, kami positif terhadap unjuran pendapatan bagi Mah Sing berikutan prospek jualan baharu yang stabil dan lebih tinggi pada RM2.2 bilion untuk FY23 daripada jualan baharu yang dicapai sebanyak RM2.1 bilion pada FY22,” tambahnya.

 

Katanya, ini disokong oleh strategi pemulihan pantas dan sasaran kumpulan untuk pembeli rumah kali pertama.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 75 sen sesaham. -DagangNews.com