Prolintas Infra Business Trust dijangka jana RM445.3 juta daripada penyenaraian IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Prolintas Infra Business Trust dijangka jana RM445.3 juta daripada penyenaraian IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

Prolintas Infra Business Trust akan menjadi syarikat amanah perniagaan lebuh raya pertama disenaraikan di Bursa Malaysia.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Prolintas Infra Business Trust mula menerima permohonan tawaran awam permulaan (IPO) daripada pelabur yang dianggar menjana sebanyak RM445.3 juta dan ia akan disenaraikan sebagai syarikat amanah perniagaan lebuh raya pertama di negara ini.

 

IPO berharga 95 sen sesaham itu, disokong oleh lapan pelabur asas termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH), Maybank Asset Management Sdn Bhd dan Kenanga Investors Bhd.

 

Terdapat pelabur yang bersetuju untuk melanggan sebahagian besar IPO sebelum ia disenaraikan dan kehadiran mereka akan membantu meningkatkan daya tarikan syarikat kepada bakal pelabur baharu.

 

Tawaran itu akan ditutup pada 12 Mac 2024, dan dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 Mac ini.

 

Menurut prospektus, harga IPO akhir akan ditentukan pada 13 Mac 2024 bersamaan harga runcit yang lebih rendah iaitu 95 sen sesaham atau harga institusi.

 

IPO itu terdiri daripada tawaran untuk jualan sehingga 468.7 juta unit sedia ada, yang mana sehingga 422.95 juta unit telah diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih melalui pembinaan buku.

 

Turut ditawarkan ialah sehingga 45.75 juta unit di bawah tranche runcitnya kepada orang ramai, pengarah dan individu lain yang layak.

 

 

Lapan pelabur asas telah bersetuju secara kolektif untuk melanggan 299.85 juta unit IPO pada 95 sen sesaham sebagai sebahagian daripada tawaran institusi.

 

Dana yang diperoleh daripada IPO akan disalurkan sepenuhnya kepada Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd yang dimiliki oleh PNB.

 

Prolintas Infra, yang memiliki empat konsesi lebuh raya, tidak akan mendapat sebarang hasil.

 

AmInvestment Bank Bhd merupakan penasihat utama bagi IPO serta penaja jamin bersama dan penaja jamin dengan CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd. 

 

RHB Investment Bank Bhd juga merupakan penaja jamin bersama. - DagangNews.com