PROLINTAS sediakan `Food Bank' di lebuh raya kendaliannya | DagangNews Skip to main content

PROLINTAS sediakan `Food Bank' di lebuh raya kendaliannya

KUALA LUMPUR 12 Julai – Prihatin dengan keadaan semasa masyarakat sekeliling dalam menghadapi perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Kumpulan Syarikat PROLINTAS telah mengambil inisiatif mewujudkan 'food bank' di kesemua empat jajaran lebuh raya seliaannya bermula hari ini.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, inisiatif ini dijalankan secara kolektif oleh syarikat dan kakitangan yang tampil mengumpul dana berjumlah hampir RM100,000.

 

“Dana yang dikumpul ini digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti minyak masak, beras, tepung, susu, gula dan sardin dan ia ditempatkan di beberapa lokasi strategik lebuh raya dan ianya telah dimulakan pada Isnin, 12 Julai 2021 di Hentian Sebelah Plaza Tol Sungai Balak, Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

 

"Orang awam yang memerlukan bantuan ini dialu-alukan untuk datang dan mengambil barangan tersebut,
mengikut keperluan” ujar Mohammad Azlan dalam kenyataan di sini.

 

“Selain di Lebuhraya SILK, turut akan melaksanakan aktiviti yang sama dalam tempoh terdekat ini adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

 

"Sehubungan dengan itu orang awam dinasihatkan untuk secara aktif melayari akaun media sosial PROLINTAS bagi mengetahui hebahan aktiviti ‘food bank’ ini,” tambah beliau.

 

 

prolintas

 

 

Terdahulu, PROLINTAS telah mengedarkan 300 kampit beras, 300 botol minyak masak dan beberapa makanan asas yang lain kepada penduduk Kampung Sungai Penchala yang turut terjejas dengan situasi pendamik COVID-19.

 

Untuk rekod sejak bermulanya fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, PROLINTAS secara aktif dan berterusan telah melaksanakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pelbagai pihak dengan menghulurkan dana, barangan perubatan mahupun makanan kepada petugas barisan hadapan perubatan, keselamatan, orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). - DagangNews.com