Promosi 8 jam, AirAsia X tawar tambang sehala serendah RM88 ke Almaty | DagangNews Skip to main content

Promosi 8 jam, AirAsia X tawar tambang sehala serendah RM88 ke Almaty

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Feb - AirAsia X (AAX) menawarkan tambang tiket promosi menakjubkan bermula serendah RM88 sehala ke Almaty, Kazakhstan pada kempen jualan terhad hari ini.

 

Jualan terhad ini dari jam 10 pagi hingga jam 6 petang (waktu Malaysia) hari ini selama lapan jam secara eksklusif tertakluk untuk tempahan awal dan ketersediaan tempat duduk.

 

Promosi ini sempena meraikan pelancaran penerbangan pertama AirAsia X ke Almaty yang akan datang pada 14 Mac 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pihaknya berbesar hati untuk menawarkan tambang menakjubkan ini ke Almaty kepada pengembara untuk menerokai bandar yang kaya dengan peninggalan warisan sejarah, landskap mempesonakan dan kepelbagaian budaya. 

 

Katanya, Kazakhstan merupakan destinasi baharu yang mendapat sambutan mengagumkan dan jualan promosi ini membuktikan komitmen AAX untuk menawarkan perjalanan lebih lancar dan berpatutan kepada para tetamu, termasuk ke destinasi-destinasi menarik seperti Almaty.

 

"Permintaan dijangka tinggi khususnya daripada golongan pelajar dari Almaty, atau pengembara yang ingin melawat Kuala Lumpur dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama. 

 

"Kami akan terus mengembangkan rangkaian dan menawarkan perkhidmatan terbaik supaya lebih ramai pengembara dapat melancong dengan tambang menakjubkan pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Tambang promosi kini boleh ditempah melalui aplikasi airasia Superapp atau laman web untuk tempoh perjalanan bermula 14 Mac hingga 26 Oktober 2024.

 

Almaty terletak di kawasan pergunungan Trans-Ili Alatau merupakan destinasi unik antara dunia moden dan tradisional serta menawarkan pengalaman pelancongan baharu. 

 

Selain pelbagai bangunan unik, keindahan alam semula jadi dan kulinari melazatkan, Almaty menawarkan tarikan menakjubkan seperti Zenkov Cathedral, pusat ski di kawasan pergunungan dan banyak lagi untuk semua.- DagangNews.com