Prospek Cahya Mata Sarawak kekal positif walaupun pendapatan suku pertamanya kurang daripada jangkaan - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek Cahya Mata Sarawak kekal positif walaupun pendapatan suku pertamanya kurang daripada jangkaan - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - RHB Investment kekal positif terhadap prospek Cahya Mata Sarawak Berhad sepanjang tahun ini walaupun pendapatan suku pertamanya kurang daripada jangkaan. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.48 sesaham lebih rendah berbanding RM1.60 sebelum ini.

 

"Keterlihatan pendapatan kumpulan itu disokong jualan yang kukuh selain projek pembinaan kerajaan negeri yang sedang berjalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM42.56 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM72.02 juta pada suku yang sama tahun lalu dalam keadaan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat bersekutu.

 

Hasil, bagaimanapun, meningkat 29% tahun ke tahun kepada RM275.67 juta daripada RM214.04 juta sebelumnya disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada bahagian simen dan perkakas minyak.

 

Sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu menurun sebanyak 69% kepada RM14.01 juta daripada RM45.72 juta pada 2022.

 

Firma itu memotong purata harga jualan (ASP) untuk simen bagi FY23-24 antara 2% hingga 4% selepas mengambil kira normalisasi harga simen dan pada masa sama menjangkakan pendapatan kumpulan itu sekitar RM225 juta.

 

Firma itu percaya bahawa purata harga jualan simen yang dinaikkan tidak mungkin kekal bagi jangka masa panjang.

 

"Pendapatan pengeluar simen itu akan disokong jumlah jualan yang kukuh, disokong oleh projek pembinaan negeri yang sedang berjalan seperti Empangan Baleh (dijangka siap menjelang 2026), jalan pantai Sarawak dan Lebuhraya Pan Borneo," katanya. - DagangNews.com