Prospek dagangan negara menguntungkan Westports | DagangNews Skip to main content

Prospek dagangan negara menguntungkan Westports

Westports Holdings Berhad (Westports)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Syarikat pengangkutan dan logistik, Westports Holdings Berhad (Westports) berpotensi untuk terus mengukuh seiring prospek peningkatan dagangan negara.

 

MIDF Research berkata, pihaknya menjangkakan prestasi dagangan negara akan terus meningkat pada 2021 seiring pemulihan rantaian bekalan global.

 

"Dua bulan pertama pada 2021 menyaksikan eksport dan import rata-rata meningkat kepada 11.7% dan 6.6% tahun ke tahun bersama harga komoditi yang kompetitif.

 

"Berdasarkan jangkaan kami, pertumbuhan eksport import Malaysia akan terus meningkat kepada 13.5% dan 12.7% tahun ke tahun pada 2021.

 

"Sekiranya jangkaan itu tepat, keadaan ekonomi yang baik akan memberi kesan positif kepada Westports sekali gus mendorong pertumbuhan pendapatan kumpulan yang lebih jauh," jelas MIDF Research.

 

Bagi tempoh suku pertama tahun kewangan 2021, Westports mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM207.5 juta.

 

Jumlah berkenaan meningkat 26.9% berbanding suku lalu dan 35.9% berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam jumlah pendapatan pula, syarikat berkenaan mencatatkan hasil yang rendah sebanyak RM508.2 juta, susut -6.2% berbanding suku lalu.

 

Pendapatan keseluruhan kumpulan bagaimanapun rendah disebabkan oleh penurunan hasil daripada segmen Marin dan Pembinaan.

 

Segmen berkenaan masing-masing menurun -13.0% dan -25% tahun ke tahun.

 

Tambah MIDF Research, setelah menilai kepada prestasi syarikat berkenaan yang baik pada suku berkenaan, pihaknya membuat semakan semula terhadap anggaran pendapatan Westports.

 

"Kami menyemak anggaran PAT bagi tahun kewangan 2021 kepada RM703.7 juta iaitu peningkatan 5.1% berbanding anggaran sebelumnya pada kadar RM667.9 juta.

 

"Selain itu, kami turut menyemak PAT bagi tahun kewangan 2022 dengan menaikkan 0.7% kepada RM746.6 juta berbanding RM741.4 juta," jelas MIDF Research. - DagangNews.com