Prospek jangka pendek FGV Holdings kekal lemah, RHB Investment turunkan saranan kepada ‘jual’ dengan TP RM1.20 sesaham | DagangNews Skip to main content

Prospek jangka pendek FGV Holdings kekal lemah, RHB Investment turunkan saranan kepada ‘jual’ dengan TP RM1.20 sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Prospek jangka pendek FGV Holdings Berhad kekal lemah, walaupun ia sepatutnya bertambah baik pada separuh kedua 2023 didorong pengeluaran yang lebih baik dan kos lebih rendah, kata RHB Investment.

 

Susulan kemerosotan dalam keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), firma penyelidikan itu menurunkan taraf saranan kepada ‘jual’ daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.20 sesaham daripada RM1.50 sebelumnya.

 

“Kami mengurangkan pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 25 hingga 33% selepas menurunkan andaian buah tandan segar (BTS), harga isirung kelapa sawit dan pendapatan gula serta menaikkan kos unit,” katanya dalam nota hari ini.

 

Mengulas lanjut, RHB Investment berkata keputusan 1QFY23 kumpulan itu mencatat kerugian teras sebanyak RM29.8 juta, berbanding unjuran keuntungan setahun penuh firma dan konsensus, akibat pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan harga isirung kelapa sawit yang lebih rendah daripada jangkaan, serta kos unit lebih tinggi.

 

 

BACA: Untung bersih FGV Holdings jatuh 96% kepada RM12.1 juta pada 1QFY23 akibat harga minyak sawit mentah rendah, sektor gula rugi

 

 

Menurut firma itu, keluaran BTS merosot sebanyak 1% YoY, di bawah panduan FGV Holdings dengan kenaikan 10 hingga 15% dan anggaran firma pada 9%.

 

“Untuk bersikap konservatif, kami menurunkan pertumbuhan output dalaman dan luaran kami bagi tahun kewangan 2023 (FY23) kepada 5 hingga 6% daripada 9%, dan mengekalkan angka FY24-25 pada 3 hingga 5%,” katanya dalam nota hari ini.

 

FGV Holdings telah mencapai purata harga jualan (ASP) sebanyak RM3,988 setiap tan pada 1QFY23, menghampiri harga spot purata RM4,017 setiap tan dan firma itu percaya harga isirung kelapa sawit telah menurun sebanyak 50 hingga 60% YoY.

 

Sementara itu, kos unit telah meningkat 45% YoY pada 1QFY23 kepada RM2,944 setiap tan, didorong kos pengambilan pekerja baharu, peningkatan gaji minimum dan kos baja lebih besar disebabkan penggunaan baki baja berharga lebih tinggi dari 2022.

 

FGV juga telah membayar pampasan yuran pengambilan kepada kira-kira 20,000 pekerja berjumlah kira-kira RM30 juta pada 15 Mac, sebagai sebahagian daripada fasa pertama pelan pemulihannya.

 

“Kami meningkatkan andaian kos unit kami untuk mencerminkan kenaikan 20% YoY untuk FY23 daripada 5 hingga 10%,” tambahnya.

 

Melangkah ke hadapan, firma itu berkata harga gula mentah yang lebih tinggi serta kos gas dan elektrik akan kekal memudaratkan pendapatan, tetapi faktor penggunaan dan hasil patut bertambah baik memandangkan dandang Johor telah beroperasi semula pada April, manakala anak syarikatnya, MSM Malaysia dibenarkan menjual varian baharu gula bertapis pada kadar terapung.

 

Setakat pukul 12:05 tengahari ini, saham FGV Holdings kekal pada RM1.34, memberikannya modal pasaran sebanyak RM4.89 bilion. -DagangNews.com