Prospek jualan baharu IOI Properties lebih kukuh pada FY24 dipacu pelancaran Marina View Residences di Singapura – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prospek jualan baharu IOI Properties lebih kukuh pada FY24 dipacu pelancaran Marina View Residences di Singapura – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos -  Prospek jualan baharu IOI Properties Group Berhad lebih kukuh pada tahun kewangan berakhir Jun 2024 (FY24) dipacu oleh pelancaran Marina View Residences di Singapura yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) RM8.56 bilion.

 

MIDF Research menjangkakan jualan hartanah baharu IOI Properties memberangsangkan pada harga melebihi RM2 bilion pada FY24.

 

Terdahulu, firma penyelidikan itu berkata IOI Properties merekodkan jualan baharu RM590 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), lebih tinggi daripada jualan baharu RM443.4 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23).

 

“Peningkatan tersebut menjadikan jumlah jualan baharu pada FY23 kepada RM1.96 bilion, mendatar berbanding jualan baharu sebanyak RM1.93 bilion pada FY22.

 

“85% daripada jualan baharu pada FY23 disumbangkan terutamanya oleh projek di Malaysia, manakala baki 15% disumbangkan oleh projek luar negara di China dan Singapura,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Secara keseluruhan, firma itu berkata pendapatan bersih IOI Properties pada FY23 sebanyak RM640.3 juta berada di bawah jangkaan, membentuk 85% dan 87% daripada anggaran tahun penuhnya dan konsensus, yang mungkin disebabkan oleh margin lebih rendah daripada jangkaan pada 4QFY23.

 

Menurut firma itu, margin keuntungan kasar lebih rendah pada 33% pada 4QFY23 berbanding 43% pada 3QFY23 disebabkan oleh kos yang lebih tinggi.

 

Oleh itu, MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan IOI Properties bagi FY24 sebanyak 6% untuk mengambil kira kos yang lebih tinggi.

 

“Namun begitu, unjuran pendapatan FY25F ditingkatkan 8.7% kerana kami melihat sumbangan yang lebih tinggi daripada projek di Singapura,” katanya, sambil menambah ia turut memperkenalkan unjuran pendapatan FY26.

 

Firma itu mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.79 sesaham daripada RM1.53 memandangkan prospek jualan baharu positif dari FY24 dan seterusnya, disebabkan sumbangan daripada projek Singapura dan prestasi hartanah pelaburan yang lebih baik.

 

Pada waktu penulisan, saham IOI Properties didagang rendah pada RM1.52, turun 5 sen atau 3.2% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM8.37 bilion.  - DagangNews.com