Prospek KLK kekal stabil selepas pengambilaliham IJM Plantations - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prospek KLK kekal stabil selepas pengambilaliham IJM Plantations - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mei - MIDF Research mengunjurkan prospek Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) kekal stabil terutama selepas pengambilalihan IJM Plantations Berhad (IJMP).

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah selaras dengan strategi pelan jangka panjang kumpulan untuk mengembangkan perniagaan huluannya dan dilihat mula membuahkan hasil yang positif.

 

Katanya, ia didorong oleh peningkatan purata harga jualan (ASP) minyak sawit mentah yang direalisasikan.

 

"Keuntungan kumpulan itu adalah campuran hasil segmen hiliran antara 29% hingga 22% yang boleh menampan sebarang risiko ketidakstabilan harga MSM," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada suku kedua berakhir 31 Mac 2023, keuntungan bersih KLK merosot 65% kepada RM190.8 juta daripada RM546.6 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Hasil bagi tempoh itu berjumlah RM6.05 bilion berbanding RM6.4 bilion setahun sebelumnya manakala pendapatan sesaham turun kepada 17.70 sen daripada 50.70 sen sebelumnya.

 

Bagi enam bulan pertama, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM633.8 juta daripada hasil RM12.7 bilion.

 

Kumpulan itu berkata, persekitaran makroekonomi bagi segmen pembuatan, khususnya subsegmen oleokimia, kekal mencabar dengan sentimen pengguna yang lemah, disebabkan oleh peningkatan inflasi dan risiko kemelesetan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM26.00 sesaham. - DagangNews.com