Prospek kontrak perkongsian pengeluaran Bumi Armada positif disokong potensi besar rizab di Lembangan Tarakan – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prospek kontrak perkongsian pengeluaran Bumi Armada positif disokong potensi besar rizab di Lembangan Tarakan – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Prospek Bumi Armada Berhad positif dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) disokong potensi besar rizab di Lembangan Tarakan.

 

Terdahulu, anak syarikat Bumi Armada, Armada Akia BV (AABV) dan pembida bersamanya, Pexco Tarakan NV (Pexco), dilaporkan telah menandatangani PSC dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia untuk Akia PSC di Lembangan Tarakan, Provinsi Kalimantan Utara. AABV ialah pengendali dengan 51% kepentingan penyertaan, manakala Pexco memiliki baki 49%.

 

MIDF Research berkata ia positif terhadap projek baharu tersebut kerana Lembangan Tarakan mempunyai sejarah penerokaan yang panjang hampir satu abad.

 

Jelasnya, kira-kira 80% daripada penerokaan raknya mempunyai rizab terbukti, dan struktur geologi yang kompleks dan potensi tinggi sub-lembangan air dalam di kawasan itu menandakan lebih banyak prospek yang belum diterokai; memberi lebih masa dan manfaat kepada Bumi Armada daripada PSC ini.

 

MIDF Research berkata Akia PSC terbabit merangkumi hampir 8,400 km persegi dan anak syarikat Bumi Armada, Armada Akia BV (AABV) mengandungi penemuan minyak dan gas Aster dan Tulip.

 

Firma penyelidikan itu berkata Tulip mempunyai anggaran isipadu 860BCF (lebih kurang 153.2Bboe) gas asli dan 60Mboe minyak dan kondensat, di mana Bumi Armada akan menyediakan dan mengendalikan FPSO dan saluran paip gas asli cecair terapung (FLNG) untuk projek itu.

 

“Kami percaya PSC ini bakal menyumbang secara positif kepada Bumi Armada, memandangkan kepakaran utamanya dalam menyediakan dan mengendalikan sistem terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma tersebut, PSC tersebut membenarkan penerokaan dan pengeluaran (E&P) bersama risiko dan akses sumber.

 

“Dengan penglibatan kerajaan Indonesia, kami percaya Bumi Armada akan dapat memastikan pemindahan teknologi yang lancar dan menegakkan piawaian terbaik dalam keselamatan.

 

“Walaupun risiko kontrak, harga pasaran dan politik kekal, kami percaya ia akan memberi impak yang minimum memandangkan PSC sering memberi manfaat kepada kontraktor, kerana mereka dibenarkan untuk mendapatkan wang daripada jualan minyak yang dihasilkan selepas pembayaran royalti kepada kerajaan tuan rumah,” ujar firma itu.

 

MIDF Research berkata tiada perubahan pada unjuran pendapatan ketika ini memandangkan PSC masih belum memenuhi peringkat E&Pnya dan E&P permulaan boleh mengambil masa sehingga tiga tahun.

 

Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 79 sen sesaham.  - DagangNews.com