Prospek Petronas Chemicals semakin lemah dalam 2QFY23 akibat kos permulaan Pengerang – CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Prospek Petronas Chemicals semakin lemah dalam 2QFY23 akibat kos permulaan Pengerang – CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pelabur harus bersedia untuk prospek Petronas Chemicals Group Berhad yang lebih lemah dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), menurut CGS-CIMB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata prospek keuntungan kumpulan bagi 2QFY23 kelihatan lebih lemah berbanding suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), di mana untung bersih 1QFY23 hanya meliputi unjuran tahun penuhnya dan konsensus masing-masing pada 15% dan 10%.

 

 

BACA: Untung bersih Petronas Chemicals menjunam 74% kepada RM532 juta pada suku pertama 2023

 

 

Purata harga polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), monoetilena glikol (MEG), urea dan metanol telah menurun setakat ini pada 2QFY23 daripada purata pada 1QFY23, ujar firma itu.

 

“Sementara itu, Petronas Chemicals telah memaklumkan bahawa kos permulaan Pengerang mungkin meningkat lagi pada 2QFY23 dan 3QFY23, daripada RM100 juta yang ditanggung pada 1QFY23.

 

“Ini kerana kumpulan itu hanya memulakan proses permulaan untuk empat daripada tujuh loji Pengerang pada 1QFY23, dengan ketujuh-tujuh loji mungkin dimulakan dalam dua suku seterusnya, sekali gus menambah kos permulaan,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma itu menjelaskan bahawa Petronas Chemicals menyasarkan tarikh operasi komersial Pengerang menjelang 4QFY23 yang mungkin akan membelanjakan lebih banyak kos permulaan pra-operasi untuk loji itu justeru boleh mengurangkan keuntungan.

 

Pemangkin penurunan taraf kumpulan itu adalah pendapatan yang lemah disebabkan kos permulaan Pengerang dan penurunan 30% dalam harga spot urea.

 

Selain itu, firma itu berkata Pengerang berkemungkinan mengalami kerugian EBITDA selepas pentauliahan kerana harga bahan mentah etilena.

 

Oleh itu, CGS-CIMB telah mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 26 hingga 35%.

 

Ini bagi mengambil kira kos permulaan praoperasi Pengerang pada FY23 serta unjuran keuntungan operasi yang lebih rendah untuk segmen kepakaran dan segmen olefin dan derivatif (O&D) bagi FY23-25.

 

Firma itu turut menurunkan taraf saranan kepada ‘kurang’ daripada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP)  dikurangkan kepada RM6.19 sesaham daripada RM7.06.

 

Saham Petronas Chemical pagi ini dibuka pada RM6.87, memberikannya modal pasaran RM55 bilion. -DagangNews.com