Prospek Sime Darby Property disokong bank tanah dengan nilai pembangunan kasar RM119 bilion – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Prospek Sime Darby Property disokong bank tanah dengan nilai pembangunan kasar RM119 bilion – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Prospek Sime Darby Property Bhd positif disokong bank tanahnya yang besar berjumlah 6245.9 hektar yang terletak secara strategik di pantai barat Semenanjung Malaysia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM119 bilion, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Di samping itu, AmInvestment berkata kumpulan tersebut berupaya melancarkan produk yang mempunyai permintaan pada harga bersesuaian di perbandaran terletak di lokasi strategik, yang telah dibuktikan dengan kadar pengambilan yang kukuh sebanyak 90% untuk pelancaran baharu tahun kewangan 2022 (FY22) dan kadar pengambilan purata sebanyak 88% pada FY19 hingga FY22.

 

“Pelancaran rasmi Battersea Power Station pada separuh kedua tahun kewangan 2022 (2HFY22) berpotensi meningkatkan jualan kediaman dan pajakan komersial di The Power Station dan Electric Boulevard,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment turut positif terhadap prospek kumpulan berikutan usahanya dalam pembangunan tanah perindustrian yang berkembang pesat melalui penubuhan dana pembangunan perindustrian bersama hartanah LOGOS untuk membina taman logistik bersepadu di Bandar Bukit Raja, Selangor.

 

“Dana itu diunjurkan menjana pendapatan berulang (yuran pengurusan dana dan pendapatan pajakan) bermula FY23, berikutan jangkaan siapnya fasa pertama taman logistik bersepadu pada suku keempat tahun ini,” jelasnya.

 

Memandangkan momentum jualan kukuh pada 1HFY23, firma itu berkata Sime Darby Property menaikkan sasaran jualan FY23 kepada RM2.7 bilion daripada RM2.3 bilion dan pelancaran yang dirancang kepada RM4 bilion daripada RM3 bilion.

 

“Tempahan kukuh kumpulan sebanyak RM1.9 bilion, meningkat 19% suku ke suku setakat 6 Ogos 2023 dan kadar penukaran tempahan-kepada-jualan yang tinggi sebanyak 70% hingga 80% akan terus menyokong prospek jualannya pada FY23,” kata firma itu.

 

Mengulas mengenai prestasi Sime Darby Property dalam separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), AmInvestment berkata keuntungan bersihnya sebanyak RM126 juta dalam jangkaan, membentuk 41% unjuran pendapatan firma dan konsensus.

 

Oleh itu, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan dan saranan ‘beli’ namun menaikkan nilai saksama (FV) kepada 82 sen sesaham daripada 68 sen sebelumnya disebabkan kadar diskaun lebih rendah 45% kepada aset bersih dinilai semula (RNAV).

 

“Ini adalah berikutan peningkatan keseluruhan sentimen pasaran hartanah di Malaysia dengan jangkaan kebangkitan semula projek infrastruktur mega dan potensi kelonggaran syarat untuk Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H),” jelasnya.

 

Setakat pukul 10:48 pagi, saham Sime Darby Property susut 0.5 sen atau 0.7% kepada 68.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM4.66 bilion. - DagangNews.com