Prospek SLP Resources masih suram ekoran kelembapan permintaan global dalam industri pembungkusan plastik fleksibel – PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Prospek SLP Resources masih suram ekoran kelembapan permintaan global dalam industri pembungkusan plastik fleksibel – PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Prospek SLP Resources Berhad masih suram berikutan industri pembungkusan plastik fleksibel terus terjejas oleh kelembapan permintaan global.

 

Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata pendapatan kumpulan pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) merosot terutamanya disebabkan oleh permintaan pasaran eksportnya lebih lemah daripada jangkaan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berdasarkan jangkaan permintaan bertambah baik pada suku-suku berikutanya, didorong aktiviti penyimpanan semula.

 

“Namun begitu, pemulihan lebih mampan akan bergantung pada prospek ekonomi global yang bertambah baik.

 

“Kami kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek kumpulan dan mengekalkan saranan ‘underperform’ terhadap SLP Resources, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 73 sen,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, PublicInvest berkata walaupun kos bahan mentah dan logistik telah berkurangan, lebihan bekalan dan permintaan yang lemah kekal berleluasa disebabkan aktiviti ekonomi global semakin perlahan dan kekurangan pemangkin pasaran untuk merangsang pertumbuhan permintaan.

 

Namun begitu, kumpulan itu tetap fokus pada inovasi produknya dan terus melaksanakan disiplin kewangan untuk memastikan keuntungan yang mampan kepada pihak berkepentingan.

 

Terdahulu, SLP Resources dilaporkan mencatat keuntungan bersih RM2.7 juta pada 3QFY23, jatuh 46% tahun ke tahun disebabkan hasil lebih rendah dan kos pengeluaran lebih tinggi.

 

“Keputusan adalah di bawah jangkaan kami dan konsensus, masing-masing menyumbang 56.2% dan 50.9% daripada anggaran tahun penuh,” tambahnya.

 

Setakat pukul 12:04 tengah hari ini, saham SLP Resources kekal pada 87 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM275.8 juta.  - DagangNews.com