Proton lantik Industrial Labs sebagai pembekal sistem solar PV | DagangNews Skip to main content

Proton lantik Industrial Labs sebagai pembekal sistem solar PV

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Proton Global Services Sdn Bhd (PGS) melantik Industrial Laboratories Sdn. Bhd. (Industrial Labs) sebagai pembekal sistem solar fotovoltaik (PV) yang kedua untuk mengembangkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendornya. 

 

Pelantikan itu adalah sebahagian daripada inisiatif kelestarian tenaga pembuat kereta nasional yang berusaha untuk menurunkan pelepasan karbonnya untuk meningkatkan skor amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).

 

Selain menceburi pelbagai aktiviti perniagaan, PGS juga melaksanakan pengoptimuman tenaga dan solusi tenaga lestari untuk Proton. 

 

Industrial Labs ialah pembekal utama dan pembekal perkhidmatan solusi tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia dengan pengalaman di seluruh Asia Tenggara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PGS, Lee Yeet Chuan berkata, tenaga baharu adalah salah satu aktiviti perniagaan teras untuk PGS. 

 

Beliau berkata, pihaknya juga telah menyelia pemasangan sistem solar kilang Proton di Tanjung Malim yang mampu menghasilkan 12MWp dan menjana potensi penjimatan bil tenaga sehingga RM3.5 juta setahun untuk Proton selama 25 tahun.

 

“Dengan penambahan Industrial Labs sebagai pembekal sistem PV, kami sedang berusaha untuk mempercepatkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendor Proton pada 2023 untuk mengurangkan lagi pelepasan karbon syarikat” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

proton
(Dari kiri) Roslan Abdullah, Lee Yeet Chuan, Shamsul Azhar Zainuddin dan Pengasas Bersama dan Pengarah Industrial Labs, Fairus Sakiman pada majlis menandatangani perjanjian tersebut.

 

 

Pengasas Bersama dan Pengarah Industrial Labs, Shamsul Azhar Zainuddin pula berkata, Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) di Mesir tahun lalu menggariskan langkah yang perlu diambil untuk memastikan peningkatan suhu global diminimumkan berbanding tahap pra-industri. 

 

"Penyahkarbonan pengeluaran tenaga adalah salah satu inisiatif yang dipromosikan, dan itulah sebabnya kami gembira dapat bekerjasama dengan PGS kerana mempromosikan tenaga bersih seperti solar adalah satu langkah menuju ke arah yang betul,” katanya.

 

 

proton

 

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, dengan parameter ESG yang semakin popular setiap tahun, semua entiti korporat mesti berusaha untuk meningkatkan markah mereka dalam bidang ini. 

 

Katanya, Proton sebagai jenama automotif nasional mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan aktif  dalam membantu Malaysia mencapai matlamat neutral karbonnya menjelang tahun 2050. 

 

"Itulah sebabnya kami akan terus mempromosikan lebih banyak inisiatif hijau dalam syarikat dan ekosistem kami pada masa akan datang yang terdekat," katanya. - DagangNews.com