Proton sumbang 7 enjin 1.5 TGDi bagi perkasa pendidikan teknikal di Perak | DagangNews Skip to main content

Proton sumbang 7 enjin 1.5 TGDi bagi perkasa pendidikan teknikal di Perak

Proton menyumbang tujuh unit enjin 1.5 TGDi kepada institusi-institusi pendidikan sempena acara berbasikal Proton Growing Together Fun Ride di Tanjung Malim, Perak.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Proton menyumbang sebanyak tujuh unit enjin 1.5 TGDi pemasangan tempatannya kepada institusi pendidikan di Perak bagi memperkasakan program teknikal di negeri itu. 

 

Antara institusi pendidikan yang menerima enjin 1.5TGDi ialah Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Kolej Vokasional Slim River, Giat Mara Tanjung Malim dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. 

 

Enjin 1.5 TGDi Proton yang memenangi anugerah dipasang pada barisan pengeluaran iklim terkawal di kilang Tanjung Malim dan terkenal dengan teknologi dan prestasi canggihnya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, pelajar akan diberi latihan eksklusif dan membina pengetahuan dalam servis dan pembangunan enjin, serta membantu menyelaraskan kemahiran 
mereka dengan permintaan industri.

 

"Proton telah mengeluarkan kenderaan di Tanjung Malim selama 20 tahun dan kami sentiasa mencari peluang untuk menyokong institusi pendidikan tempatan untuk mengembangkan lagi pengetahuan dan kemahiran automotif mereka. 

 

"Kami berharap penyerahan enjin tersebut akan membantu memajukan program latihan di institusi dan membantu melatih bakat masa depan untuk industri automotif Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, enjin tersebut disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang ketika acara berbasikal sejauh 30 kilometer, 'Proton Growing Together Fun Ride' yang diadakan sempena ulang tahun syarikat yang ke-40, yang turut menarik lebih 500 peserta.

 

 

proton

 

 

Selain majlis penyerahan enjin, Protom turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada tiga beradik atas usaha cemerlang mereka di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX23). 

 

Shameer Panduar, 16, Shaheer Panduar, 14, dan Shazlan Panduar, 13, semuanya pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City memenangi pingat emas untuk Pameran Rekacipta Muda Dunia (WYIE) dan dinobatkan sebagai Pencipta Muda Terbaik di Pameran Reka Cipta Muda Malaysia (MYIE).

 

 

proton

 

 

proton

 

 

Li Chunrong berkata, sumbangan tunai Proton kepada tiga beradik itu adalah ganjaran atas usaha dan pengiktirafan mereka bahawa minda muda berbakat boleh ditemui di Tanjung Malim. 

 

 

proton

 

 

"Sama seperti ibu bapa mereka, kami juga berbangga dengan pencapaian mereka dan berharap ini adalah langkah pertama untuk pencapaian yang lebih hebat pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com