KUALA LUMPUR 16 Ogos - Selepas lebih enam tahun model X70 dilancarkan di Malaysia, Proton memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diberi peningkatan baharu (facelift) pada harga bermula RM98,800.
Proton X70 facelift yang menjadi SUV segmen-C itu ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard (bermula RM98,800), Executive (bermula RM110,800), Premium (bermula RM123,800) dan Premium X (bermula RM126,800), semuanya dengan enjin 1.5L TGDI.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, berkata pelancaran Proton X70 versi 2025 menandakan fasa baharu Proton menerusi kerjasamanya dengan Geely.
"Berdasarkan pencapaian kami sepanjang 18 bulan lalu, daripada pelancaran Proton X90 dan S70 kepada pengenalan kereta elektrik (EV) dari smart, serta pembukaan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China dan pelancaran e.MAS, menunjukkan betapa jauhnya syarikat telah berkembang sejak pelancaran SUV pertama kami pada 2018.
"Dengan reka bentuk yang diperbaharui, kami yakin Proton X70 2025 akan terus menarik minat sebagai kenderaan penglaran nasional untuk pengguna Malaysia dan sedunia," katanya ketika melancarkan Proton X70 facelift pada Khamis.
Yang turut hadir majlis pelancaran itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.
Antara penambahbaikan model versi 2025 itu adalah untuk bahagian wajah depan dengan rekaan gril seperti X90 dan juga sedan S70.
Selain itu, rekaan hud juga berbeza dengan lampu utamanya yang kini tampil canggih menggunakan unit lampu LED sepenuhnya dengan rekaan tiga kluster berbeza di dalam perumah membabitkan 47 biji lampu LED, lengkap dengan lampu nyalaan siang (DRL).
Banyak penambahbaikan yang ditampilkan di dalam kereta kabin seperti rekaan roda stereng baharu dengan bahagian bawah rata, kluster meter untuk pemandu pula menggunakan paparan kombinasi digital LCD dan Infotainment Head Unit (IHU) dengan skrin lebih besar 12.3-inci.
Proton X70 facelift juga dilengkapi dengan peranti yang menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan pelanggan memuat turut aplikasi berkenaan kelak secara over-the-air (OTA).
Di samping itu, Proton memastikan model ini lebih serasi dan disesuaikan dengan keadaan pemanduan di Malaysia, jarak sejauh 4.2 juta kilometer telah dilakukan ke atasnya.
Dari aspek mekanikal pula, SUV itu masih menggunakan unit 1.5L TGDI yang digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang menjana sebanyak 130 kW (177 PS) pada 5,500 rpm serta tork 255 Nm antara 1,500 hingga 4,000 rpm.- DagangNews.com