KUALA LUMPUR 12 Dis - PT Pindad mengekalkan reputasi sebagai pengeluar persenjataan dan peluru terbaik di Asia Tenggara berikutan kejayaan Indonesia menjadi juara sebanyak 14 kali dalam Pertandingan Menembak Tentera Darat ASEAN (AARM).
Terbaharu, pada edisi ke-31 di Thailand, Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Darat (TNI AD) muncul juara dengan mengungguli banyak pertandingan utama.
Senjata dan peluru keluaran PT Pindad mendukung kontinjen penembak TNI AD sehingga mendahului pencabar terdekat seperti Vietnam dan Thailand.
Selain senjata, kualiti peluru yang baik menyumbang kepada ketepatan tembakan selain perlu ada kemahiran pada penembak.
Kualiti peluru pula bergantung kepada campuran peledak serta kualiti peledak yang digunakan pengeluarnya.
Semasa AARM, kontinjen Indonesia menggunakan Raifal standard TNI AD iaitu SS2-V2 HB untuk kategori karbin, SS2-V4 HB untuk kategori raifal serta peluru pelbagai kaliber untuk seluruh kategori pertandingan.
Peserta TNI AD juga menjuarai kategori raifal dengan menggunakan senjata utama buatan PT Pindad, SS2 V4 HB.
SS2 V4 HB kaliber 5.56 milimeter memiliki ketepatan yang tinggi, laras yang kukuh dan daya tahan yang tinggi terhadap tahap kepanasan pada laras.
Selain AARM, TNI AD juga menjadi juara sebanyak 12 kali dalam Pertandingan Kemahiran Menembak Tentera Darat Australia (AASAM) yang disertai tentera 20 negara termasuk Amerika Syarikat.
AASAM merupakan acara bertaraf antarabangsa sejak dianjurkan 40 tahun lalu.
Ketika ini, PT Pindad juga telah membangunkan varian SS2 V4 terbaharunya iaitu SS2 V4 A1 yang menggunakan pejera teleskopik dan dilengkapi gelongsor pada badan senjata (picatinny rail) untuk dipasang pelbagai aksesoris tambahan seperti alat bidik dan pejera laser.
Firma PT Pindad sebagai contoh bermula sebagai kilang pemasangan semua senjata buatan luar bagi tentera Indonesia sejak tahun 1950-an.
Sepanjang tempoh tersebut, ia meneroka kemahiran dalam pembuatan senjata, peluru dan bahan letupan sebelum melangkah dalam bidang penghasilan kenderaan pelbagai guna dan perisai.
Pada tahun 2006, PT Pindad menghasilkan raifal sendiri iaitu SS2-V1.
Bermula tahun yang sama, PT Pindad telah menembusi pasaran ke beberapa seperti Kemboja, Nigeria, Laos dan Australia yang memilih raifal buatan Indonesia.
Peluru buatan syarikat itu pula dibekalkan kepada tentera negara Korea Selatan, Singapura, Timor Leste, Laos dan Filipina nilai eksport tahunan kira-kira AS$5 juta.
Thailand pula merupakan pelanggan eksport utama PT Pindad sejak tahun 2006 untuk peluru kaliber kecil.
Bermula tahun 2022, PT Pindad mengeksport peluru, bahan letupan dan kenderaan tempur ke tiga negara iaitu Thailand, Bangladesh dan Amerika Syarikat.
Seperti Indonesia, Malaysia juga mempunyai syarikat tempatan yang terbabit dalam penghasilan peluru dan senjata bagi kegunaan tentera serta pasukan keselamatan.
SME Ordnance atau dahulunya dikenali sebagai Syarikat Malaysia Explosive Sdn. Bhd. yang telah ditubuhkan sejak 1969 dengan matlamat untuk berdikari dalam bidang pembuatan senjata.
SME Ordnance ialah anak syarikat National Aerospace & Defence Industries (NADI) yang mana Kementerian Kewangan merupakan pemegang saham Nadi.
Bagaimana, prestasi cemerlang PT Pindad tidak ditunjukkan oleh SMEO apabila ketika ini ia bukan lagi pengeluar utama persenjataan kepada Kementerian Pertahanan.
Malaysia kini membeli sebahagian besar peluru dan bahan letupan dari negara luar bagi keperluan pertahanan negara.- DagangNews.com