PublicInvest jangka prestasi Mi Technovation lebih baik pada 2HFY23 didorong peningkatan permintaan | DagangNews Skip to main content

PublicInvest jangka prestasi Mi Technovation lebih baik pada 2HFY23 didorong peningkatan permintaan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Mi Technovation Berhad dijangka menyaksikan prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) berikutan jangkaan peningkatan permintaan, berdasarkan pertanyaan dan tempahan pembelian baru-baru ini.

 

“Pengurusan menekankan bahawa prestasi paling teruk telah berakhir untuk kumpulan dan ia menyaksikan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua berbanding separuh pertama, tanpa tempahan dibatalkan sebelum ini tetapi hanya ditangguhkan kerana perbelanjaan modal pelanggan perlahan,” kata Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan pertemuan dengan pengurusan minggu lalu, namun mengurangkan unjuran pendapatan Mi Technovation bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 21% bagi mencerminkan prestasi lemah untuk kedua-dua peralatan dan perniagaan bola pateri pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23).

 

Bagaimanapun, unjuran pendapatan untuk FY24-25 dikekalkan memandangkan prospek semikonduktor dijangka meningkat untuk tiga tahun akan datang, katanya.

 

Menurut firma itu, pengurusan kumpulan itu menjangkakan permintaan untuk Unit Perniagaan Peralatan Semikonduktor (SMBU) di Korea, Asia Tenggara dan China meningkat dalam separuh kedua, berdasarkan pertanyaan dan tempahan pembelian baru-baru ini.

 

Jelasnya, ini diterajui oleh i) peranti mudah alih dan telekomunikasi, ii) komputer dan aksesori, iii) kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dan pusat data, serta iv) segmen automotif.

 

PublicInvest berkata penggunaan kapasiti SMBU disasarkan lebih tinggi, di mana kilangnya di Tainan, Taiwan dijangka mencapai penggunaan 80% pada 3QFY23, sementara pengurusan merancang mempertingkat kapasiti dengan menambah dua barisan pengeluaran di Ningbo, China,

 

“Pada nota yang lebih positif, pembuat cip Amerika Syarikat, Micron Technology telah pun memberi kelayakan kepada produk mereka walaupun ia perlu menjalani beberapa penstrukturan semula berikutan larangan eksport China baru-baru ini,” tambahnya.

 

Di samping itu, Mi Equipment Korea dilihat sedang memanfaatkan ledakan AI, di mana ia mencapai kejayaan teknologi untuk mesin Laser Compression Bonding (LCB) dan Laser-Assisted Bonding (LAB), yang sedang menunggu kelulusan pelanggan selepas menghantar mesin demo.

 

“Berikutan ledakan AI global, ia telah menerima pelbagai pertanyaan daripada Korea dan Taiwan. Pengurusan percaya bahawa ia boleh mendapatkan pesanan pembelian LCB sulung menjelang tahun depan,” katanya.

 

PublicInvest mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM2.57 sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham Mi Technovation telah menokok 6 sen atau 3.7% kepada RM1.68 dengan modal pasarannya bernilai RM1.5 bilion. - DagangNews.com