PublicInvest jangka segmen pinjaman wang sokong pendapatan Apex Equity bagi separuh kedua tahun ini | DagangNews Skip to main content

PublicInvest jangka segmen pinjaman wang sokong pendapatan Apex Equity bagi separuh kedua tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Apex Equity Holdings Berhad dijangka mencatatkan peningkatan 10% dalam pertumbuhan pendapatan bagi FY23 dengan segmen pinjaman wangnya memberikan pendapatan lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) Research percaya segmen pinjaman wang kumpulan itu akan memberikan pendapatan yang lebih tinggi pada separuh kedua FY23 berikutan peningkatan kos dana, yang akan membawa kepada kadar pinjaman berkesan yang lebih tinggi.

 

"Memandangkan perniagaan perdagangan saham dan sekuriti yang kurang memberangsangkan. 

 

"Kami percaya segmen pinjaman wang akan terus menjana pendapatan bagi kumpulan untuk mengimbangi sebahagian daripada kesan pertumbuhan lebih perlahan dalam pendapatan pembrokeran.

 

"Kami menjangkakan pendapatan 2HFY23 mendatar disokong oleh keuntungan daripada segmen pinjaman wang.

 

"Unjuran pendapatan kami kekal tidak berubah. Kami mengekalkan penarafan neutral terhadap Apex Equity dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM1.20," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perniagaan pinjaman wang telah membantu mengurangkan sebahagian kesan pertumbuhan lebih perlahan dalam pendapatan pembrokeran berikutan penurunan mendadak dalam aktiviti perdagangan sejak awal 2021.

 

Sehingga 30 September 2023, jumlah agregat pinjaman atau pendahuluan tertunggak berjumlah RM68.8 juta, dengan 78% diperluaskan kepada korporat dengan baki 22% kepada individu.

 

Operasi pinjaman wang Apex Securities dihentikan buat sementara waktu pada 2QFY21 tetapi sejak 3QFY22, segmen ini telah menyumbang secara positif kepada kumpulan, menjana keuntungan yang lumayan sebanyak RM1 jyta hingga RM2 juta pada setiap suku.

 

PublicInvest berkata, memandangkan pemulihan perlahan dalam aktiviti dagangan di Bursa Malaysia, Apex telah menyampaikan keputusan yang memuaskan untuk 1HFY23 dengan keuntungan suku tahunan sebanyak RM2 juta. - DagangNews.com