PublicInvest kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan jangka pendek Kumpulan Perangsang ekoran kelemahan ekonomi global | DagangNews Skip to main content

PublicInvest kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan jangka pendek Kumpulan Perangsang ekoran kelemahan ekonomi global

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - Public Investment Bank (PublicInvest) tetap berhati-hati terhadap prospek pendapatan jangka pendek Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) kerana andaian pendapatan perniagaan utama kumpulan itu berkemungkinan kekal lemah akibat kelemahan ekonomi global.

 

Susulan lawatan ke kilang pembuatan dua anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) pada 13 September – CPI Electronic Manufacturing Service (CPI EMS) di Bayan Lepas dan MDS Advance (MDS) di Simpang Ampat, firma penyelidikan tersebut berkata syarikat acuan suntikan plastik bersepadu terbabit telah mendedahkan bahawa lebihan inventori susulan pandemik masih belum pulih.

 

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa lebihan inventori hanya akan berkurang menjelang suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) dan seterusnya.

 

“Kami tidak membuat perubahan pada ramalan kami berdasarkan sebab yang dinyatakan di atas. Selain itu, kami juga telah mengambil kira perubahan daripada dua anak syarikat sebelum ini dalam ramalan kami.

 

“Walaupun kami menjangkakan perubahan kecil terhadap pendapatan KPS, kami berpendapat kesan keseluruhannya boleh diabaikan kepada keuntungan kumpulan kerana kelembapan merentasi semua segmen akhir, sejajar dengan prospek permintaan elektronik yang lemah pada masa ini ditambah dengan persekitaran operasi yang mencabar,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas kemudahan baharu CPI EMS, PublicInvest berkata ia telah mula beroperasi pada Mac 2023 dan menjangkakan margin segmen meningkat sedikit berikutan kecekapan meningkat lebih 200% daripada tiga barisan pengeluaran teknologi pelekap permukaan (SMT).

 

Bagaimanapun, rancangan awal pengurusan untuk menambah barisan pengeluaran SMT berkelajuan tinggi masih belum dilaksanakan kerana jumlah pengeluaran telah dikurangkan sebanyak 30% hingga 40% berbanding FY22.

 

“Justeru, kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan kami kerana permintaan masih dihalang oleh inventori yang tidak terjual dan kelemahan permintaan elektronik secara keseluruhan,” tambahnya.

 

Sementara itu, pembesaran kemudahan MDS Advance sebanyak dua kali ganda telah selesai dan setakat Ogos 2023, kemudahan itu telah mencapai 57% penggunaan kerana MDS telah membawa balik semua kerja penyumberan luarnya.

 

“Kami menjangkakan sedikit peningkatan margin berikutan kerja penyumberan luar cair kira-kira 6% hingga 7% daripada margin kasar MDS. Kebergantungan kepada tenaga manusia juga telah dikurangkan sebanyak 10% dengan penambahan mesin automatik baharunya,” tambahnya.

 

PublicInvest mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) 65 sen sesaham.

 

Pada pukul 11 pagi ini, saham KPS tidak berubah pada 71 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM381.5 juta.  - DagangNews.com