PublicInvest positif terhadap prospek sektor penjagaan kesihatan, didorong peningkatan penduduk yang semakin berusia | DagangNews Skip to main content

PublicInvest positif terhadap prospek sektor penjagaan kesihatan, didorong peningkatan penduduk yang semakin berusia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Public Investment Bank (PublicInvest) positif terhadap prospek jangka sederhana sektor penjagaan kesihatan disokong peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan perubatan akibat populasi penduduk yang semakin tua.

 

Katanya, kemasukan 30 hari tanpa visa kepada warga China dan India juga dilihat memberi kesan yang baik kepada Program Pelancongan Perubatan Hospital Utama.

 

"Kenaikan kadar obesiti dalam kalanngan kanak-kanak dan remaja akan menjadi pendorong kepada peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan merangkumi pembedahan bariatrik penjagaan pencegahan, diagnostik dan pilihan rawatan lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penyakit tidak berjangkit atau penyakit kronik muncul sebagai punca utama kematian dan beban penyakit di Malaysia, membawa kepada peningkatan yang ketara dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan setiap pesakit.

 

Katanya, penyakit berjangkit juga memberi beban ekonomi tambahan, menyumbang kepada kerugian dalam produktiviti ekonomi dianggarkan hampir 1% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dari segi ketidakhadiran dan persaraan awal.

 

"Kami percaya ini juga boleh membawa kepada permintaan yang lebih besar untuk perkhidmatan hospital yang akan memberi manfaat kepada sektor penjagaan kesihatan swasta," katanya.​

 

PublicInvest berkata, meskipun pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan (HWP) memerlukan kerjasama berpotensi melalui perkongsian awam-swasta (PPP) akan mengurangkan keadaan kesesakan di hospital awam namun ia diramal berdepan cabaran semasa fasa pelaksanaan.

 

Bagaimanapun, keadaan itu dilihat tidak akan menjejaskan sektor penjagaan kesihatan swasta dalam tempoh terdekat.

 

Selain itu katanya, pembangunan dana kesihatan khusus masih dalam peringkat konsep dan masih tidak jelas.

 

"Kami menjangkakan peningkatan kos penjagaan kesihatan keseluruhan disebabkan oleh peningkatan tenaga kerja yang diperlukan untuk meneliti dan memproses tuntutan daripada pelbagai hospital.

 

"Sektor penjagaan kesihatan di negara ini juga akan berisiko untuk menganggu amalan pasaran terbuka dengan cadangan pelaksanaan ketelusan dalam penetapan harga ubat," katanya.

 

PublicInvest kekal dengan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dan saranan 'outperform' terhadap KPJ Healthcare Bhd dan IHH Healthcare Bhd selain mengekalkan 'neutral' di Apex Healthcare Bhd berikutan permintaan yang perlahan untuk produk penyakit pernafasannya.- DagangNews.com