PublicInvest semak turun unjuran untung bersih teras Kumpulan Perangsang sebanyak 48% bagi FY23 hingga FY25 | DagangNews Skip to main content

PublicInvest semak turun unjuran untung bersih teras Kumpulan Perangsang sebanyak 48% bagi FY23 hingga FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Public Investment Bank (PublicInvest) menyemak turun unjuran untung bersih teras Kumpulan Perangsang Selangor Berhad bagi FY23 hingga FY25 sebanyak 48% selaras dengan prospek permintaan produk elektronik yang lemah.

 

Firma penyelidikan berkata, selain itu mereka juga berdepan persekitaran operasi yang mencabar akibat kos yang tinggi.

 

Katanya, walaupun kumpulan itu melayani segmen industri yang berbeza namun perkhidmatannya sangat bergantung kepada pengguna.

 

"Segmen elektronik pengguna mewakili kira-kira 40% daripada hasil kumpulan.

 

"Kelemahan pendapatan kumpulan diheret oleh bahagian pembuatannya, khususnya Toyoplus. Kadar penggunaan kilang secara purata telah menurun kepada 30%, jauh di bawah paras optimum 70%.

 

"Kami tetap berhati-hati terhadap prospek pendapatan kumpulan itu kerana gambaran pendapatan perniagaan teras mereka mungkin akan merosot akibat kelemahan ekonomi global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM2.3 juta pada 2QFY23, peningkatan daripada kerugian bersih teras sebanyak RM1.3 juta dari suku tahun ke suku tahun.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih teras 1HFY23 merosot  lebih 80% disebabkan kelembapan daripada bahagian pembuatan, pelesenan dan pelaburan hartanah.

 

Keuntungan bersih teras 1HFY23 adalah di bawah anggaran dan konsensus firma itu sebanyak 3.4% dan 4.4%.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 65 sen sesaham berbanding 70 sen sebelum ini. - DagangNews.com