PULSE mohon kerajaan tumpu pendigitalan industri logistik PKS | DagangNews Skip to main content

PULSE mohon kerajaan tumpu pendigitalan industri logistik PKS

Puvaneaish Subramaniam (kiri) menyampaikan cenderahati penghargaan kepada bekas Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami pada Mesyuarat Agung Tahunan PULSE yang ke-7, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Persatuan Usahawan Logistik Semenanjung (PULSE) menyeru pihak kerajaan memberi tumpuan ke arah pendigitalan untuk pengusaha dan pemain industri logistik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar sektor tersebut tidak diabaikan daripada segi teknologi. 

 

Presiden PULSE, Dr Puvaneaish Subramaniam berkata, pendedahan dan kesedaran pendigitalan bakal membuka ruang perdagangan lebih besar di samping peluang besar kepada pemain industri logistik PKS dalam memacu pembangunan negara.

 

"Buat masa sekarang, pemain logistik PKS belum ada pendedahan pendigitalan ekoran ketiadaan platform untuk melatih mereka. Antara penambahbaikan digital yang kami harapkan ialah penyediaan platform digital, sistem berasaskan awan dan integrasi e-dagang. 

 

"Dengan itu, industri logistik PKS mampu meningkatkan kecekapan operasi, proses yang lebih tersusun, mengurangkan keperluan tenaga kerja dan meningkatkan kelebihan persaingan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Puvaneaish turut menggesa pihak kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan memperkasa PULSE sebagai pusat latihan untuk mendigitalkan industri logistik. 

 

Beliau juga menyentuh isu kekurangan kemahiran dan latihan berada pada tahap membimbangkan yang mana sektor itu bergantung kepada pekerja asing sehingga terpaksa berkompromi dengan etika kerja. 

 

"Oleh itu, PULSE bercadang untuk membuka pusat latihan sehenti bukan hanya membolehkan program latihan yang kerap dan bermanfaat, tetapi juga menampung mesyuarat masa depan dengan pegawai berkaitan daripada badan pengawal selia," katanya.

 

 

PULSE

 

 

Dalam pada itu, Puvaneish turut menyentuh mengenai pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan enjin hijau yang baharu.

 

"Ia membolehkan pemain kecil dan sederhana ke arah 'go-green' dan mengangkat elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon. 

 

"Kos pengendalian kenderaan logistik juga akan menurun berbanding yang digunakan sekarang tidak ketinggalan kekerapan kerosakan dan kecekapan bahan api yang lebih tinggi," ujar beliau.

 

Selain itu katanya, PULSE juga membawa isu kekurangan ruang parkir yang dihadapi pemandu trak di kawasan rehat dan rawat (R&R) sehingga mengundang pelbagai masalah keselamatan jalan raya.

 

Katanya, industri yang menjadi salah satu tulang belakang utama ekosistem rantaian bekalan negara telah merana pada era COVID-19 dan ia masih berterusan sehingga kini sehinggakan ramai pengusaha dan pengendali perniagaan logistik PKS memilih meninggalkan perusahaan itu. 

 

"Kami berharap kerajaan dapat campur tangan dalam semua isu yang diutarakan termasuk kenaikan kos logistik agar kami dapat terus kekal bersaing dalam pasaran ini," katanya. - DagangNews.com