PUNB berjaya mengekalkan persijilan Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2013 untuk 3 tahun lagi | DagangNews Skip to main content

PUNB berjaya mengekalkan persijilan Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2013 untuk 3 tahun lagi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) berjaya mengekalkan pensijilan Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2013 bagi tempoh tiga tahun akan datang berkuat kuasa 12 Mei 2023.

 

Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB, Fauzi Zakaria berkata, pengekalan pensijilan ISMS ISO/IEC 27001:2013 ini mencerminkan komitmen teguh PUNB terhadap keselamatan maklumat dan privasi data usahawan dan pelanggan.

 

Katanya, matlamatnya bagi memastikan adanya tahap perlindungan untuk kerahsiaan, kebolehdapatan dan integiriti maklumat dalam skop yang ditetapkan. 

 

"Selain itu, pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan ini juga dapat meminimumkan kesan insiden keselamatan siber terhadap maklumat aset dan sistem PUNB, sekali gus memberi khidmat terbaik kepada semua pelanggan PUNB.

 

"Pelaksanaan ISMS juga melancarkan proses operasi dengan lebih cekap dan sistematik sejajar dengan pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan di PUNB," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelaksanaan ISMS di PUNB meliputi maklumat aset dan maklumat sistem yang menyokong dan menguruskan kelancaran operasi permohonan sehingga pengagihan pembiayaan. 

 

PUNB menerima pensijilan ISMS buat pertama kali pada 12 Mei 2017 bagi ISO/IEC27001:2013.

 

Sebarang pertanyaan mengenai PUNB, boleh menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian 1-300-13-7862 atau emel kepada [email protected]

 

Orang ramai juga boleh melayari portal rasmi PUNB di www.punb.com.my dan mengikuti akaun rasmi media sosial PUNB @punbofficial untuk maklumat terkini. - DagangNews.com