KUALA LUMPUR 3 Okt - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan program latihan keusahawanan digital dengan peruntukan dana berjumlah RM3.5 juta untuk siswazah Bumiputera berusia 30 tahun ke bawah.
Menerusi program JumPER GREAT dan geran dana pembangunan alumni JumPER, PUNB menggalakkan siswazah yang berminat dalam bidang keusahawanan untuk merebut peluang tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata program JumPER GREAT menawarkan program latihan keusahawanan digital kepada siswazah Bumiputera di negara ini dan dana tersebut diperuntukkan meliputi elaun, geran permulaan, latihan, pemantauan dan konsultasi perniagaan.
“Penyertaan program ini terhad kepada 300 peserta sahaja dan mereka yang layak akan menyertai latihan selama tiga bulan, diberikan elaun bulanan serta layak menerima geran dana permulaan perniagaan untuk menjalankan peniagaan secara dalam talian.
“Sekiranya peserta tidak mempunyai produk untuk dipasarkan, PUNB akan mengadakan padanan perniagaan dengan menghubungkan peserta dan syarikat terpilih bagi membolehkan mereka memasarkan produk syarikat tersebut di platform niaga peserta.
“PUNB juga akan menjalankan pemantauan dan memberi khidmat nasihat bagi memastikan teknik pemasaran yang dipelajari akan dipraktikkan sepenuhnya,” ujar beliau.
Menurut Izwan, inisiatif tersebut diperkenalkan untuk menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera, sekali gus meningkatkan penyertaan usahawan yang lebih berkualiti dan mahir dalam penggunaan teknologi digital.
“Selain itu, tujuan inisiatif ini diwujudkan untuk menggalakkan golongan belia menjadikan sektor perniagaan sebagai kerjaya pilihan, bukannya sebagai sumber untuk menambah pendapatan semata-mata. PUNB mahu memberikan pendedahan yang inklusif kepada golongan belia dan menjadikan keusahawanan sebagai satu budaya,” katanya.
Mengulas mengenai geran pembangunan alumni JumPER, Izwan berkata inisiatif kedua itu adalah khas untuk peserta yang menamatkan latihan dari tahun 2020 hingga 2023, di mana seramai 546 alumni JumPER layak memohon geran sehingga RM15,000 untuk setiap syarikat.
“Inisiatif untuk alumni JumPER PUNB ini adalah tanda sokongan dan galakan PUNB untuk terus memperkasakan usahawan muda bumiputera khususnya rakan usahawan PUNB,” katanya.
Permohonan untuk menyertai JumPER GREAT dan geran pembangunan alumni JumPER kini dibuka hingga 16 Oktober 2023.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi PUNB dan maklumat lanjut boleh dilayari di akaun rasmi sosial media PUNB @punbofficial. - DagangNews.com