PUNB raih anugerah khas ‘Best Sustainability Report’ daripada ADFIAP  | DagangNews Skip to main content

PUNB raih anugerah khas ‘Best Sustainability Report’ daripada ADFIAP 

Izwan Zainuddin (dua kiri) ketika menerima anugerah khas ‘Best Sustainability Report’ sempena Malam Anugerah ADFIAP 2023 yang diadakan di Almaty, Kazakhstan, semalam.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mei - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah menerima anugerah khas kategori ‘Best Sustainability Report’ di Malam Anugerah Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan di Asia Serta Pasifik (ADFIAP) 2023.

 

Syarikat itu telah menerima anugerah tersebut bagi laporan bertajuk ‘Aspiring Sustainability for a Brighter Tomorrow 2021’ pada acara tersebut yang diadakan bersempena Mesyuarat Tahunan ADFIAP ke-46 yang diadakan di Almaty, Kazakhstan, semalam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata pengiktirafan daripada institusi global yang disegani seperti ADFIAP adalah satu penghormatan dan pencapaian yang cemerlang buat PUNB.

 

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, PUNB telah melakukan penambahbaikan berterusan terhadap langkah-langkah yang menyokong dan mempromosi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sebagai bahagian penting dalam operasi kami.

 

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ADFIAP dan panel-panel juri yang memilih PUNB untuk merangkul anugerah khas ini, sekali gus mengiktiraf perjalanan PUNB ke arah SDG,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengasas dan Ketua Pengarang BNE Intellinews, Ben Aris kepada Izwan Zainuddin, turut disaksikan oleh Pengerusi ADFIAP, Monimul Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (ARDB), Kao Thach.

 

Agenda SDG PUNB memfokuskan kepada tiga elemen iaitu sosial yang merangkumi kesihatan yang baik dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, kesaksamaan jantina dan mengurangkan ketidaksamaan, keamanan, keadilan dan keteguhan institusi.

 

Sementara itu, elemen kedua iaitu alam sekitar membabitkan agenda tenaga bersih dan mampu milik, tanggungjawab penggunaan dan penghasilan. 

 

Elemen terakhir adalah ekonomi yang melibatkan agenda perkembangan ekonomi dan pekerjaan, inovasi industri dan infrastruktur serta bandar dan komuniti yang mampan.

 

SDG menjadi agenda utama PUNB dalam usaha mencapai keseimbangan keperluan pembangunan operasi perniagaan dan menyumbang impak positif kepada masyarakat.

 

Laporan SDG 2021 PUNB bertajuk ‘Aspiring Sustainability for a Brighter Tomorrow 2021’ boleh dimuat turun di portal rasmi PUNB. -DagangNews.com