PUNB sasar 15 bengkel rakan usahawan sertai Program Petronas AutoExpert 2023 | DagangNews Skip to main content

PUNB sasar 15 bengkel rakan usahawan sertai Program Petronas AutoExpert 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasarkan sebanyak 15 syarikat Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif untuk menyertai Program Petronas AutoExpert pada tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, setakat ini terdapat lima Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif menyertai program ini yang mula diperkenalkan pada tahun lalu.

 

Menurutnya, Program Petronas AutoExpert ini adalah kerjasama PUNB dengan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMMSB) bagi membolehkan Rakan Usahawan PUNB menjalankan perniagaan bengkel kenderaan berkonsep di bawah jenama syarikat minyak utama Malaysia itu.

 

"Setakat ini, lima Rakan Usahawan PUNB sudah menyertai program ini, manakala yang terbaharu ialah Prima First Auto Sdn Bhd (PMASB) di Bayan Lepas, Pulau Pinang. 

 

"Malah, bengkel Petronas AutoExpert yang pertama di Malaysia iaitu Autohaus KL yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam adalah Rakan Usahawan PUNB.

 

"Melihat kepada maklum balas yang positif, PUNB terus menyokong program ini untuk menambah bilangan Rakan Usahawan PUNB menyertai program Petronas AutoExpert, sekali gus membantu menaik taraf bengkel usahawan Bumiputera ke suasana yang lebih kondusif," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Izwan berkata, dalam Program Petronas AutoExpert, bengkel Rakan Usahawan PUNB yang layak akan dibantu dari aspek pembiayaan perniagaan untuk dinaik taraf menjadi pusat servis sehenti yang menyediakan sokongan kepakaran serta capaian dari sudut sistem dan kelengkapan termaju termasuk pelincir. 

 

 

punb
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (kiri) menandatangani plag perasmian Petronas AutoExpert @Jawi Tyre & Workshop, Bayan Lepas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

 

 

Jelasnya, selain itu, mereka yang menjadi rakan niaga Petronas AutoExpert akan menerima latihan, sokongan pemasaran, program dagangan serta rundingan bagi pembangunan perniagaan daripada Petronas.

 

PMASB ditubuhkan pada September 2015 dan menjadi Rakan Usahawan PUNB sejak 2021. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan penyelengaraan dan baik pulih kenderaan. 

 

 

punb

 

 

PMASB mempunyai dua cawangan di Jawi, Pulau Pinang dan Parit Buntar, Perak. PMASB terpilih untuk membuka pusat penyelenggaraan kenderaan kategori ‘flagship’ Petronas AutoExpert yang pertama di Pulau Pinang di bawah kerjasama PLMMSB dan PUNB. 

 

Cawangan ini adalah pusat penyelenggaraan kenderaan yang ketiga di bawah jenama Jawi Tyre & Workshop.

 

Sebarang pertanyaan mengenai PUNB, boleh hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian 1-300-13-7862 atau e-mel kepada [email protected]

 

Layari portal rasmi PUNB di www.punb.com.my dan ikuti akaun rasmi media sosial PUNB @punbofficial untuk maklumat terkini. - DagangNews.com