PUNB sasar RM275 juta pembiayaan perniagaan kepada PKS Bumiputera tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

PUNB sasar RM275 juta pembiayaan perniagaan kepada PKS Bumiputera tahun hadapan

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyampaikan anugerah Usahawan Harapan kepada pemenang pada Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2023 di ibu negara pada 21 November 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasarkan kelulusan pembiayaan perniagaan sebanyak RM275 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera bagi menyokong agenda Ekonomi Madani pada 2024. 

 

Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, menerusi skim pembiayaan 'Prosper' menawarkan pembiayaan sebanyak RM100,000 hingga RM10 juta, manakala skim 'Speed' yang menawarkan pembiayaan 'fast lane' sehingga RM200,000.

 

Beliau berkata, skim pembiayaan khas seperti 'Prosper Impact' menawarkan pembiayaan perniagaan sehingga RM5 juta.

 

Selain itu katanya, sejumlah RM60 juta juga telah diperuntukkan kepada PUNB untuk mempertingkatkan pemilikan hartanah perniagaan untuk usahawan Bumiputera menerusi Program Prosper Hartanah.

 

"Bagi tahun ini, setakat Oktober 2023, PUNB telah meluluskan pembiayaan perniagaan lebih RM200 juta kepada 420 Rakan Usahawan. 

 

"Manakala, sejak penubuhan PUNB, sehingga kini, sebanyak 14,700 Rakan Usahawan telah dibantu dengan jumlah kelulusan pembiayaan sebanyak RM4.3 bilion," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2023 di sini, hari ini.

 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin dan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

 

 

punb
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika berucap merasmikan Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2023.

 

 

Menurut Acryl Sani, lebih 400 peserta yang terdiri daripada Rakan Usahawan PUNB dan usahawan luar yang terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan dalam SParK 2023.

 

Katanya, SParK 2023 adalah penganjuran kali keempat yang bertemakan ‘Peruncitan Masa Hadapan: Menelusuri Landskap Perniagaan, dengan menyokong dan mempromosikan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG) dalam sektor peruncitan.

 

 

punb

 

 

punb

 

 

"Simposium itu juga membincangkan mengenai perubahan landskap perniagaan serta strategi terkini dalam peruncitan melalui perkongsian pengalaman daripada pemain-pemain hebat industri yang terkenal dengan jenama masing-masing," katanya.

 

Tambahnya, PUNB turut menerapkan aspek kelestarian dalam ESG dan menetapkan sebahagian SDG yang berkaitan dengan operasi perniagaan, bagi membuktikan komitmen terhadap usaha membangunkan usahawan Bumiputera ke arah Agenda Pembangunan Mampan 2030. - DagangNews.com