Pusat beli-belah Elmina Lakeside Mall bakal dibuka pada suku ketiga 2024 | DagangNews Skip to main content

Pusat beli-belah Elmina Lakeside Mall bakal dibuka pada suku ketiga 2024

Elmina Lakeside Mall merupakan pusat beli-belah kedua milik Sime Darby Property.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Jan - Pusat beli-belah Elmina Lakeside Mall yang terletak di Bandar Elmina, dekat Shah Alam dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku ketiga 2024.

 

Sime Darby Property Berhad berkata, pusat beli-belah yang berkeluasan 6.9 hektar itu telah menarik minat ramai penyewa dengan kadar penghunian kini mencecah sebanyak 85 peratus.

 

Elmina Lakeside Mall yang merupakan pusat beli-belah kedua milik Sime Darby Property mempunyai keluasan lantai 400,000 kaki persegi dengan merangkumi 712 tempat letak kereta.

 

Pelbagai tarikan ditawarkan kepada pengunjung termasuk restoran pandu lalu, pilihan premis makanan tempatan dan antarabangsa, produk rumah dan gaya hidup, perkhidmatan dan kemudahan, kesihatan dan kesejahteraan serta butik gaya hidup.

 

Antara jenama yang bakal beroperasi di Elmina Lakeside Mall adalah Jaya Grocer, Harvey Norman, The Coffee Bean & Tea Leaf, Nak Nak, Inside Scoop, Kenny Hills Bakers, Jibby & Co, Chica Bonita, Sushi Zanmai, Para Thai, Super Saigon, Dolly Dim Sum, Watsons, Toys“R”Us, Twigs Bookshop, Lavender Bakery, Nyonya Colors, Ali, Muthu & Ah Hock, The Bike Artisan, Pets Wonderland, Happy Fish dan banyak lagi.

 

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, minat pemilik perniagaan kepada Elmina Lakeside Mall menunjukkan tarikan tinggi pusat beli-belah yang strategik ini.

 

"Kami mengalu-alukan rakan kongsi perniagaan kami yang telah memilih Elmina Lakeside Mall sebagi destinasi utama untuk memperkenalkan kedai baru mereka. 

 

"Kepercayaan mereka terhadap produk kami adalah bukti kepada persekitaran runcit yang menarik yang ingin kami wujudkan. Kami berterima kasih kepada rakan-rakan kongsi yang telah menyertai kami untuk mencipta pengalaman membeli-belah yang hebat dan menetapkan standard baru untuk kecemerlangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

elmina 2
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong pada sesi libat urus bersama para penyewa Elmina Lakeside Mall.

 

Tambahnya, Sime Darby Property amat teruja dengan pusat beli-belah kejiranan terbaru ini yang direka bentuk untuk memenuhi pengalaman membeli-belah yang tiada tandingan. 

 

"Dengan pelbagai jenama yang terkemuka, tawaran khas dan kemudahan yang terkini, kami yakin bahawa Elmina Lakeside Mall akan menjadi tempat tumpuan utama untuk para pengguna dan pembeli. 

 

"Kami bukan hanya membina destinasi membeli-belah; kami juga sedang mencipta pusat komuniti gaya hidup untuk penduduk,” jelasnya.

 

Elmina Lakeside Mall terletak berhadapan Elmina Urban Park dan ia direka dengan konsep perniagaan al fresco dengan mempunyai restoran tepi tasik, jalan-jalan berlandskap, struktur air, persekitaran semula jadi dan ciri-ciri yang menarik untuk pengguna Instagram.

 

Pusat beli-belah ini juga boleh diakses melalui beberapa laluan utama seperti Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).- DagangNews.com