Pusat beli-belah Pavilion Damansara Heights kini dibuka kepada orang ramai | DagangNews Skip to main content

Pusat beli-belah Pavilion Damansara Heights kini dibuka kepada orang ramai

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Pusat beli-belah Pavilion Damansara Heights dibuka secara rasmi kepada orang ramai, menjadikannya tarikan baharu Lembah Klang yang terletak di kejiranan mewah Bukit Damansara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (Runcit) Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Datuk Joyce Yap menzahirkan keyakinan beliau dalam memperkenalkan pusat beli-belah enam tingkat itu, di mana sebanyak 100 kedai lagi akan dibuka menjelang akhir Oktober ini.

 

Jelasnya, ketersambungan kawasan tersebut telah bertambah baik, di samping musim perayaan yang semakin hampir serta penyerahan lapan blok menara pejabat korporat baru-baru ini dan menara kediaman tidak lama lagi.

 

"Dengan kawasan kejiranan mewah di sekelilingnya, seperti Bangsar dan Damansara Heights, serta pertumbuhan pendudukan dan pekerja pejabat berhampiran yang memerlukan akses kepada keperluan asas, perkhidmatan gaya hidup yang selesa dan pilihan tempat makan, kami menjangkakan pelancaran yang kukuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

 

Joyce Yap di majlis perasmian pembukaan Pavilion Damansara Heights Mall pada 9 Oktober 2023
Puan Sri Cindy Lim di majlis perasmian pembukaan Pavilion Damansara Heights Mall pada 9 Oktober 2023

 

 

Setakat ini Pavilion Damansara Heights telah menyiapkan dan menyerahkan lapan daripada sembilan menara korporat dan tiga menara kediamannya, sekali gus meningkatkan penduduknya seramai kira-kira 26,000 orang.

 

Dengan kira-kira 80% daripada ruang boleh sewa pusat beli-belah itu dipajak dalam fasa satu, pembukaan Pavilion Damansara Heights Mall juga menandakan keyakinan semula dalam ekonomi Malaysia berikutan kestabilan kadar faedah, inflasi terkawal dan usaha baharu negara untuk menarik pelancong antarabangsa.

 

Joyce menambah bahawa suku keempat 2023 biasanya menyaksikan peningkatan dalam jualan runcit ketika Malaysia menuju ke musim perayaan akhir tahun.

 

“Kami juga optimis untuk pertumbuhan selanjutnya pada 2024, memandangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia positif sebanyak 4.3% oleh Bank Dunia,” katanya.

 

Pavilion Damansara Heights boleh diakses melalui Lebuhraya SPRINT, DUKE, sambunga Penchala dan Lebuhraya Persekutuan.

 

Stesen MRT Pusat Bandar Damansara juga terletak bersebelahan pusat beli-belah itu dan mempunyai sambungan pejalan kaki.  - DagangNews.com