Pusat data baharu bakal pacu permintaan elektrik 2024, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pusat data baharu bakal pacu permintaan elektrik 2024, kata RHB Investment

Beberapa lagi pusat data dijangka memulakan operasi tahun ini sekali gus memacu permintaan elektrik pada 2024, kata RHB IB. - Gambar hiasan Asima
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Jun - Beberapa lagi pusat data yang dijangka memulakan operasi tahun ini bakal memacu permintaan tenaga elektrik yang lebih tinggi, kata RHB Investment Bank.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini dapat dilihat daripada pusat data berkapasiti 150 megawatt (MW) yang dikomersialkan pada suku pertama 2024 (1Q24) telah memacu pertumbuhan permintaan elektrik untuk segmen komersial.

 

RHB Investment berkata, permintaan untuk tenaga elektrik meningkat pada kadar lebih pantas iaitu 9.6% YoY, berbanding pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.2% pada 1Q24. 

 

Katanya, hal ini rata-ratanya didorong oleh segmen komersial (+11.2%) dan domestik (+16.8%) yang lebih kukuh.

 

"Permintaan mencecah paras puncak baharu sebanyak 20,028MW pada bulan April. Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), pertumbuhan permintaan daripada segmen komersial yang tinggi ini dipacu oleh pusat data berkapasiti 150MW yang dikomersialkan pada 1Q24.

 

"Terdapat dua projek dengan jumlah kapasiti 535MW yang disiapkan di bawah Laluan Lorong Hijau dan tujuh lagi (sekitar 165MW) bakal disiapkan tahun ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TNB mewujudkan Laluan Lorong Hijau (Geen Lane Pathway), satu laluan eksklusif sebagai tawaran yang menyediakan rumusan cekap dan mesra alam kepada syarikat-syarikat pengendali pusat data di Malaysia. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: TNB wujudkan laluan lorong hijau sebagai tawaran strategik pasaran pusat data Malaysia

 

pusat data
Malaysia menjadi pilihan beberapa gergasi teknologi global sebagai lokasi pusat data terutama di Johor dan Lembah Klang. -Gambar hiasan  media sosial

 

RHB Investment dalam pada itu, mengekalkan saranan Overweight untuk sektor utiliti dengan syarikat pilihan utama ialah TNB, YTL Power (YTLP) dan Samaiden.

 

Menurut firma penyelidikan itu, TNB juga menyasar untuk menandatangani perjanjian bekalan tenaga elektrik bagi 10 projek dengan permintaan tenaga mencecah 2 gigawatt (GW). 

 

"Walaupun permintaan bertumbuh dengan kukuh sebanyak 9.6% YoY pada 1Q24, TNB tetap memberi bayangan pertumbuhan permintaan tahunan antara 2.5-3% YoY untuk tahun ini dan tempoh kawal selia akan datang," jelasnya.

 

Jelas RHB Investment, permintaan untuk tenaga elektrik sepatutnya kekal agak teguh pada 2024. 

 

Katanya, TNB juga seharusnya masih akan menerima manfaat daripada aset-aset penghantaran dan pengagihan (T&D) yang terus-menerus dinaik taraf, dengan permintaan untuk tenaga diperkukuh oleh pembangunan pusat data yang bertumbuh dengan pesat. 

 

"Kami terus menyukai landskap solar di Malaysia kerana pertumbuhan berstruktur didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh pihak kerajaan, selain dibantu oleh keadaan pasaran yang menguntungkan. 

 

"Hal ini demikian kerana harga panel suria dijangka kekal pada paras rendah sepanjang tahun 2024," ujarnya.- DagangNews.com