Pusat data, GSPARX sokong pertumbuhan pendapatan TNB – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pusat data, GSPARX sokong pertumbuhan pendapatan TNB – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Pertumbuhan pendapatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) disokong oleh pusat data dan pendapatan GSPARX, kata AmInvestment Research selepas menghadiri taklimat penganalisis kumpulan itu.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pusat data dijangka menyokong pertumbuhan jangka panjang TNB memandangkan permintaan tenaga daripada pusat data adalah stabil dan berulang.

 

Tambahnya, terdapat 34 pusat data di Semenanjung Malaysia pada masa akan datang dan TNB dijangka menjadi pembekal utama elektrik kepada mereka, dengan potensi permintaan dianggarkan berjumlah 4,300MW (megawatt).

 

“Setakat ini, TNB telah memperoleh pelaburan pusat data dengan potensi permintaan 760MW secara keseluruhan.

 

“Salah satu daripadanya termasuk perjanjian bekalan elektrik untuk memenuhi keperluan tenaga pusat data GDS di Nusajaya Tech Park, Johor Bahru,” katanya dalam nota.

 

Pusat data GDS dijangka mula beroperasi dengan bekalan awal 16MW pada pertengahan 2023 dan TNB merancang untuk menyampaikan keperluan permintaan maksimum sebanyak 85.5MW menjelang akhir tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Sementara itu, anak syarikatnya, GSPARX dijangka menunjukkan prestasi yang baik tahun ini dengan potensi memenangi kontrak solar bernilai 145MW, di mana pendapatan GSPARX dianggarkan berjumlah RM70 juta pada FY23

 

Sehingga kini, GSPARX telah memperoleh 1,926 projek dengan jumlah kapasiti 272MW.

 

Kontrak ketara yang dimenangi GSPARX termasuk kerjasama dengan AEON untuk memasang sistem tenaga solar atas bumbung di 40 pusat beli-belah AEON dan AEON Big di Malaysia.

 

Pada FY23, GSPARX akan memasang kemudahan solar di 11 pusat beli-belah AEON dan mencapai pemasangannya di semua 40 pusat beli-belah itu menjelang akhir FY24.

 

AmInvestment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) pada RM11.80 sesaham

 

TNB kini berdagang pada FY24 PE sebanyak 12 kali, yang lebih rendah daripada purata dua tahun sebanyak 15 kali dan mempunyai hasil dividen yang lumayan pada 5% untuk FY24.

 

Pada pukul 2:51 petang hari ini, saham TNB didagangkan pada RM9.38, susut 8 sen atau 0.9% dengan modal pasaran RM54 bilion. -DagangNews.com