Pusat data lonjakkan permintaan tenaga, PublicInvest naikkan taraf saranan TNB kepada 'Outperform' | DagangNews Skip to main content

Pusat data lonjakkan permintaan tenaga, PublicInvest naikkan taraf saranan TNB kepada 'Outperform'

Tarif elektrik di semenanjung kekal berdaya saing dan merupakan antara yang terendah di Asia Tenggara. Gambar hiasan NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) Research meningkatkan sarananannya terhadap Tenaga Nasonal Berhad (TNB) kepada 'Outperform' dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM16 sesaham, daripada RM13.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini berdasarkan prospek permintaan tenaga susulan operasi pusat data dengan kira-kira sembilan pusat data dengan permintaan tenaga sebanyak 700MW dijangka siap pada 2024.

 

Katanya, sebanyak 10 lagi projek pusat data dengan permintaan tenaga sebanyak 2000MW dijangka dilaksanakan mulai 2025.

 

"Ini menunjukkan bahawa permintaan puncak akan memecahkan rekod baharu sebaik sahaja lebih banyak pusat data mula beroperasi, melampaui jangkaan awal 20,755MW pada tahun 2030," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Public Invest dalam pada tu, menjangkakan TNB terus meningkatkan perbelanjaan modal (capex) melebihi tahun 2030, dengan tambahan sebanyak RM1 bilion hingga RM2 bilion setiap tahun.

 

Katanya, ini bagi mengekalkan infrastruktur grid tenaganya yang baru-baru ini mencatatkan permintaan tertinggi baharu disebabkan oleh pusat data.

 

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Pembinaan pusat data boleh cecah RM30 bilion sehingga 2025, peluang besar bagi kontraktor tempatan - TA Securities

 

Firma itu berkata, Capex tambahan ini adalah tambahan kepada RM90 bilion yang telah dijanjikan oleh TNB untuk tempoh enam tahun sehingga 2030, bagi menyokong inisiatif transisi tenaga dan peningkatan sistem.

 

“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan capex akan kekal tinggi melebihi tahun 2030, dengan tambahan RM1 bilion hingga RM2 bilion setiap tahun untuk mengekalkan standard sebagai infrastruktur Grid Tenaga ASEAN. 

 

"Pengenalan akses pihak ketiga dan Bursa Tenaga Malaysia akan meningkatkan penggunaan grid, dan dengan itu meningkatkan keperluan untuk penyelenggaraan dan peningkatan,” jelasnya.

 

PublicInvest berkata, sistem grid Semenanjung TNB baru-baru ini mencatatkan permintaan puncak baru pada 20,045MW, melebihi unjuran awal 19,365MW pada tahun 2025 dan mendekati 20,755MW pada tahun 2030.

 

“Kami percaya ini utamanya disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi daripada pusat data, dengan dua projek (kira-kira 535MW) yang siap di bawah Green Lane Pathway pada Mac 2024,” ujarnya.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata beban tenaga semasa untuk projek-projek adalah kira-kira 115MW, tetapi dijangkakan akan meningkat secara beransur-ansur disebabkan oleh industri pusat data yang berkembang.

 

“Berdasarkan ini, kami menyesuaikan anggaran capex kami lebih tinggi dengan tambahan RM1 bilion hingga RM2 bilion, sedikit meningkatkan tarif pengedaran dan transmisi untuk tempoh regulator yang bersesuaian bagi menangkap pulangan yang lebih munasabah untuk capex masa depan yang meningkat,” katanya. - DagangNews.com