Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 April - Pusat perniagaan baharu yang dikenali sebagai NADI yang akan dilancarkan oleh IJM Land menjadi pelengkap sekali gus bakal melonjakkan Bandar Rimbayu ke tahap yang lebih tinggi.
Pengurus Besar Kanan Bandar Rimbayu, Chai Kian Soon berkata, ia selaras dengan komitmen IJM Land untuk membina perbandaran bertaraf dunia yang mampan selain mengubah Bandar Rimbayu menjadi salah satu lokasi yang menjadi rebutan di barat daya Lembah Klang.
"Kami selalu membayangkan Bandar Rimbayu sebagai sebuah perbandaran yang lengkap dan terus kekal membangun untuk semua penduduk kami. Kami juga berusaha tanpa lelah untuk merealisasikan matlamat ini setiap hari.
"Dengan penambahan menarik daripada NADI, ia akan menjadi pusat perniagaan terkenal yang menawarkan pelbagai aktiviti perniagaan.
"NADI juga akan berfungsi sebagai sebuah pusat pertemuan yang bergerak maju dan pintu masuk perdagangan antara masyarakat kerana terletak di tengah-tengah Bandar Rimbayu," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembinaan NADI merangkumi taman komersil seluas 221.59 ekar dan taman perindustrian seluas 41.10 ekar.
Ia akan dibangunkan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM2.4 bilion.
Menjelang suku kedua tahun 2021, pusat komersil NADI akan melancarkan koleksi 68 kedai (Uptown) dengan pendedahan yang baik.
Dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM198 juta, Uptown @ Rimbayu menampilkan reka bentuk berbeza bagi memenuhi keperluan berbeza yang merangkumi lapan kedai berkembar, 55 kedai teres dan lima kedai satu tingkat.
"Perniagaan berasaskan gaya hidup moden, sebagai contoh, boleh memilih lot kedai dengan balkoni bersaiz luas yang boleh menambah nilai kepada pelanggan mereka.
"Berhampirannya, sebuah cawangan McDonald dijadualkan untuk beroperasi pada bulan Jun 2021. Sementara itu, tanah seluas dua ekar bersebelahannya telah dijual untuk pembinaan menara pejabat korporat," tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau menambah, pembangunan dan pertumbuhan segmen komersil dan perindustrian NADI di Bandar Rimbayu akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi masyarakat sekitar.
Menurutnya, komponen perumahan akan menampung bakal tenaga kerja dengan menyediakan tempat tinggal kepada pekerja industri dan komersil.
"Kemudahan akses dan jalan perhubungan yang lancar mengukuhkan lagi NADI sebagai industri maju akan datang.
"Bagi komponen, NADI menyasar untuk menarik komuniti penduduk dan pengunjung dari sekitar Bandar Rimbayu dan kawasan kejiranan yang berdekatan dengan cara memanfaatkan jalan perhubungannya yang lancar dengan lebuh raya berdekatan," ujar beliau lagi. - DagangNews.com