Pusat Warisan OldTown Ipoh tarikan gastronomi baharu berkonsepkan kafe, sejarah dan galeri seni | DagangNews Skip to main content

Pusat Warisan OldTown Ipoh tarikan gastronomi baharu berkonsepkan kafe, sejarah dan galeri seni

Pusat Warisan OldTown Ipoh di Jalan Panglima, Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 23 Mei - Pusat Warisan OldTown Ipoh bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan gastronomi di bandar ini yang menampilkan kafe dan sebuah galeri seni.

 

Terletak di Jalan Panglima yang merupakan lokasi tumpuan pengunjung, premis milik rangkaian kopitiam halal terbesar di Malaysia, OldTown White Coffee sesuai untuk semua golongan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kopitiam Asia Pacific Sdn. Bhd., Dawn Liew berkata, OldTown White Coffee sememangnya terkenal dengan minuman kopi putih istimewanya serta juadah tradisi tempatan.

 

Menurut beliau, Pusat Warisan Old Town Ipoh merupakan sebuah inisiatif untuk mempamerkan karya-karya seni artis tempatan serta perkembangan industri kopi putih Ipoh. 

 

Warisan
Ruang dalaman kafe yang menampilkan ciri-ciri lestari.

 

Warisan

 

“Pusat Warisan OldTown meliputi tiga kawasan tumpuan untuk semua pengunjung iaitu kafe yang menawarkan kelainan citarasa dan menu baharu berbanding dengan konsep kopitiam kita yang lain. 

 

“Rekabentuk bangunan pula mempunyai ciri-ciri lestari dengan mengambil kira pencahayaan semulajadi dan fungsi persekitaran.

 

“Pusat warisan pula dilengkapi dengan sebuah galeri seni di mana ia mempamerkan karya-karya artis melalui Projek Kolaborasi Warisan Artis selain daripada kedai cenderahati eksklusif,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pembukaan Pusat Warisan OldTown Ipoh di sini.

 

Warisan

 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Halal OldTown White Coffee, Dato' Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Pengerusi Malaysia Franchise Association, Datuk Dr. Radzali Hassan.

 

Jelas Dawn Liew lagi, Pusat Warisan OldTown juga merupakan satu khazanah pelancongan yang unik bagi pengunjung untuk belajar tentang sejarah perkembangan kopi putih Ipoh.

 

“Memandangkan lokasinya terletak di sekitar Jejak Warisan, kita perlu mengekalkan keunikan kawasan ini.

 

“Kami berharap ia dapat dicerminkan melalui seni bina bangunan ini serta cara pengendalian operasi kami,” ujarnya.

 

Warisan
Dawn Lee (lima dari kiri) dan Ammar (tiga dari kanan) semasa merasmikan pembukaan Pusat Warisan OldTown Ipoh.

 

Melalui Projek Kolaborasi Warisan Artis ini, beberapa penggiat-penggiat seni menyumbangkan karya mereka.

 

Antaranya artis Melinda Looi, pereka fesyen terkenal Malaysia yang mereka bentuk cawan kopi coklat ikonik; pelukis mural terkenal Chin Choon Yau dan karikatur tersohor, Azmi Hussin  - DagangNews.com