Rakuten Trade jangka ITMAX catat pertumbuhan konsisten disokong hasil berulang stabil | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade jangka ITMAX catat pertumbuhan konsisten disokong hasil berulang stabil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - ITMAX System Berhad dijangka mencatatkan pertumbuhan konsisten untuk tempoh beberapa tahun disokong oleh tempahan kerja yang besar selain kejayaan menjana hasil berulang yang kukuh.

 

Rakuten Trade Research berkata, kejayaan mereka meraih kontrak daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menerusi anak syarikatnya membantu meningkatkan tempahan kerja yang belum dibilkan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemenangan kontrak itu akan meningkatkan tempahan projek yang belum dibilkan ke paras tertinggi iaitu RM712.6 juta, mempelbagaikan portfolionya yang berpotensi menyumbang hasil berulang dan pertumbuhan positif.  

 

“Dengan perbelanjaan modal dianggarkan sebanyak RM15 juta untuk surat anugerah (LOA), kami menjangkakan hasil tahunan dan sumbangan keuntungan bersih masing-masing kira-kira RM7 juta dan RM2.7 juta, untuk tempoh LOA, kerana margin keuntungan adalah serupa dengan kontrak yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 

"Kami percaya ia menandakan permulaan perjalanan pertumbuhan kumpulan itu di Johor, memandangkan negeri ini mempunyai sejumlah 16 bandar dan majlis bandaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: ITMAX raih kontrak berjumlah RM105.32 juta bagi penyediaan perkhidmatan pengawasan video daripada MBJB

 

Terdahulu, Southmax Sdn Bhd (SSB), anak syarikat milik ITMAX, telah menerima surat anugerah bertarikh 14 September 2023 daripada MBJB berhubung dengan penyediaan perkhidmatan pengawasan video, yang termasuk arahan pintar pusat dan sistem kamera litar tertutup dengan ciri kecerdasan buatan.

 

Ini akan dibuat secara langganan perkhidmatan di MBJB selama 180 bulan, dari 20 September 2023, hingga 19 September 2038, dengan harga RM105 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga sedang berbincang dengan negeri lain, seperti Pulau Pinang, Sabah, dan Selangor.

 

"Memandangkan mereka memiliki kelebihan dari segi bekalan dan pemasangan perkakasan serta kecemerlangan perisian melalui ciri kecerdasan buatan (AI) yang terkemuka, kami yakin dengan keupayaannya untuk terus mengembangkan kadar tempahan," katanya.- DagangNews.com