JERLUN 12 Nov - Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak menyalahkan pengundi yang telah diperdaya dengan janji-janji besar Pakatan Harapan (PH) dan memberi kemenangan kepada gabungan itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PH yang memerintah selama hampir dua tahun sepatutnya boleh menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat, namun mereka tidak dapat melaksanakannya.
"Pada PRU14 yang lalu pada 2018 kita tidak salahkan pengundi yang telah balik ke kampung ataupun mengundi PH pada waktu itu kerana pada waktu itu kebanyakan pengundi terpedaya dengan janji-janji yang besar dibuat oleh PH dalam manifestonya.
"Seperti yang kita semua tahu selepas mereka menjadi kerajaan mereka tidak dapat melaksanakan apa-apa janji yang dibuat dalam manifesto mereka," katanya kepada media di Pusat Kegiatan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Alor Biak, Ayer Hitam, hari ini.
Mahdzir berkata, pada PRU15 kali ini PH dilihat cuba sekali lagi hendak mendapatkan sokongan rakyat dan meminta diberi peluang untuk menunaikan janji mereka.
Pada masa yang sama beliau mengingatkan rakyat supaya memilih parti yang menawarkan manifesto yang lebih praktikal dan digubal berdasarkan realiti semasa, pada PRU15, 19 November 2022.
Mahdzir yang juga calon Barisan Nasional bagi Parlimen Padang Terap menambah, rakyat telah pun dapat menyaksikan kesan daripada PRU14 pada 2018 apabila PH dipilih menerajui negara yang menawarkan pelbagai janji tetapi tidak ditepati.
"Untuk PRU15 ini saya mengharapkan pengundi-pengundi yang akan mengundi pada hujung minggu nanti supaya tidak lagi terpedaya dengan apa yang disebutkan oleh PH kerana mereka dah janji, mereka buat janji itu tapi mereka tidak laksanakan," katanya. - DagangNews.com