Rakyat terus berjimat bimbang keadaan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Rakyat terus berjimat bimbang keadaan ekonomi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Setelah setahun negara ‘dilanda’ pandemik COVID-19, bukan sesuatu yang baharu jika impak penularan itu masih berlegar sehingga kini. 

 

Keadaan ini telah menyebabkan rakyat masih ‘mengunci’ ketat dompet mereka untuk berbelanja kerana bimbang terhadap keadaan ekonomi yang tidak menentu susulan impak pandemik itu. 

 

Malah, ini terbukti apabila semalam, Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) mendedahkan nilai jualan perdagangan borong dan runcit bagi Disember 2020 menyusut 0.3% kepada RM115.5 bilion. 

 

MIDF Research menjangkakan rakyat akan terus mengurangkan perbelanjaan mereka sehingga suku pertama 2021 (1Q21) dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

 

Keadaan ini membuatkan pengguna kekal di rumah dan mengurangkan aktiviti luar, jelas firma penyelidik itu. 

 

“Namun, memandangkan vaksin akan tersedia di negara mulai Februari dan diteruskan dengan fasa-fasa sepanjang tahun ini, perbelanjaan swasta dijangka meningkat dan juga menerima keuntungan daripada asas rendah pada 2020 yang akan lebih jelas bermula 2Q20 dan seterusnya. 

 

“Gangguan sementara untuk perbelanjaan fizikal dengan sekatan bagi membendung peningkatan kes COVID-19 di negara ini juga dapat dikurangi dengan perbelanjaan dalam talian,” jelas MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai jualan perdagangan borong dan runcit yang menyusut sedikit adalah ekoran perdagangan runcit yang menguncup 2.0% kepada -RM0.9 bilion.

 

Baca : Jualan perdagangan borong & runcit Disember 2020 susut 0.3%

 

MIDF menjangkakan inflasi pengguna meningkat pada tahun ini tetapi tetap terkawal dan menyokong penggunaan. 

 

Sektor perkhidmatan pada amnya juga akan melonjak ke arah positif tahun ini tetapi beberapa perkhidmatan yang melibatkan hotel dan penerbangan dijangka masih tertekan oleh penutupan sempadan dalam negara, ujar MIDF. 

 

“Memasuki 1Q21, prestasi perdagangan borong dan runcit dijangka terjejas akibat PKP 2.0 yang mengehadkan aktiviti luar pengguna dan seterusnya mengurangkan permintaan. 

 

“Ini akan memperlahankan aktiviti pelancongan domestik, manakala sempadan antarabangsa masih ditutup. 

 

“Dalam pada itu, kami melihat kemerosotan sementara bagi pemulihan pasaran buruh memandangkan perniagaan-perniagaan mungkin menghentikan seketika pengambilan pekerja kerana aktiviti perniagaan yang lebih rendah ketika tempoh PKP 2.0 di mana menjejaskan prospek pendapatan,” tambah firma penyelidik itu lagi. - DagangNews.com