Rancangan Grab ambil alih foodpanda dijangka makan masa sehingga suku pertama 2024 akibat harga jualan 'terlalu tinggi' | DagangNews Skip to main content

Rancangan Grab ambil alih foodpanda dijangka makan masa sehingga suku pertama 2024 akibat harga jualan 'terlalu tinggi'

KUALA LUMPUR 20 Dis - Rancangan Grab Holdings Ltd. untuk mengambil alih foodpanda dijangka memakan lebih lama dan berkemungkinan berlarutan sehingga suku pertama 2024.

 

Perbincangan antara Grab dan pemilik foodpanda iaitu Felivery Hero terhenti kerana kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat terhadap penilaian foodpanda, menurut sumber kepada Business Times.

 

Difahamkan, foodpanda meminta sejumlah wang yang dianggap 'terlalu tinggi' untuk dipersetujui Grab.

 

Business Times melaporkan pada November lalu bahawa Delivery Hero berkemungkinan memeterai perjanjian melupuskan operasi foodpanda di Malaysia menjelang akhir tahun.

 

Operasi Malaysia merupakan antara tujuh pasaran foodpanda di Asia Tenggara yang dijual Delivery Hero dan Grab yang berpangkalan di Singapura menjadi pendahulu bagi mendapatkannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Grab beli operasi foodpanda di Malaysia dan 6 pasaran lain di ASEAN?

 

Pasaran serantau foodpanda merangkumi Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand.

 

Bagaimanapun, foodpanda dan Grab enggan mengulas mengenai perkara itu ketika dihubungi.

 

Penjualan foodpanda itu berkemungkinan menyebabkan syarikat berpangkalan di Singapura itu memonopoli perniagaan p-hailing (penghantaran makanan, minuman dan bungkusan) dan terdapat gesaan agar Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat perkara itu.

 

Berita mengenai penjualan itu didedahkan majalah perniagaan Jerman, Wirtschaftswoche yang melaporkan pada September lalu bahawa Grab merupakan pembeli berpotensi untuk perniagaan foodpanda di rantau ini.

 

Dilaporkan juga bahawa kumpulan itu boleh membelanjakan lebih daripada satu bilion euro bagi memperoleh platform penghantaran makanan dan barangan runcit dalam talian di semua tujuh pasaran. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Grab ambil alih foodpanda: MyCC diminta segera teliti kemungkinan monopoli

 

Delivery Hero, bagaimanapun, menyatakan bahawa nilai perjanjian itu masih belum diputuskan.

 

Pada November lalu, dilaporkan syarikat penghantaraan gergasi China, Meituan menyatakan bahawa mereka tidak berminat terhadap pengambilalihan itu menjadikan Grab sebagai pendahulu bagi mendapatkan foodpanda.

 

Isnin lalu, Delivery Hero memberitahu bahawa mereka akan menutup hab teknologi globalnya di Turkiye dan Taiwan selain mengurangkan pekerjanya di Berlin, Jerman bagi mengurangkan kos.

 

Syarikat itu telah mengurangkan tenaga kerja di ibu pejabat Berlin dan peranan perkhidmatan globalnya sekitar 13% tahun ini, termasuk pemberhentian pekerja pada Januari lalu. - DagangNews.com