Rancangan kemasukan DXN ke pasaran Brazil diunjur beri sumbangan positif bagi jangka sederhana, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Rancangan kemasukan DXN ke pasaran Brazil diunjur beri sumbangan positif bagi jangka sederhana, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 April - Rancangan kemasukan DXN Holdings Bhd ke pasaran Brazil diunjur memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan bagi jangka masa sederhana.

 

RHB Investment berkata, pasaran utama dilihat akan terus memberi sumbangan beterusan disokong oleh strategi pemasaran berkesan kumpulan dan dibantu oleh pelancaran produk baharu.

 

Katanya, pengembangan kapasiti dalam pasaran utama juga akan menjadi petanda positif dalam usaha kumpulan itu mengukuhkan jualan selain meningkatkan kecekapan operasi.

 

Pada masa sama, pelarasan harga yang dibuat dalam pasaran berbeza juga akan menyokong margin keuntungan kumpulan walaupun ketika berdepan keadaan harga komoditi tidak menentu.

 

"Kami juga sedang menunggu keputusan positif DXN ke Brazil terutama selepas memanfaatkan rangkaian sedia ada mereka di Amerika Latin.

 

"Kumpulan itu dijangka meraih pendapatan ketara daripada usaha niaga itu dalam dalam masa tiga ke empat tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat 43.23% kepada RM79.02 juta bagi suku keempat berakhir 29 Februari 2024 (4QFY24) berbanding RM55.17 juta setahun lalu, didorong oleh hasil yang lebih tinggi.

 

Bagi tahun penuh FY24, untung bersih kumpulan meningkat 12.9% kepada RM310.99 juta daripada RM275.4 juta pada FY23, manakala hasil berkembang 12.6% kepada RM1.8 bilion daripada RM1.6 bilion.

 

Pada masa sama, DXN menyasarkan untuk mengembangkan kehadiran pasarannya di Brazil pada FY25 dan komited mengekalkan momentum pasaran melalui inovasi produk berterusan melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan selain mengoptimumkan kecekapan pengeluaran.

 

Bagaimanapun, RHB Investment menjangkakan kumpulan itu berdepan beberapa cabaran termasuk kelewatan dari segi pelaksanaan dan perubahan peraturan yang mungkin menjejaskan perancangan mereka.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 93 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com