Rancangan penubuhan REIT peluang baik bagi WCT kurangkan hutang - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Rancangan penubuhan REIT peluang baik bagi WCT kurangkan hutang - MIDF Research

Paradigm Mall antara pusat beli-belah dimiliki WCT.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Julai - Rancangan WCT Holdings Bhd menubuhkan dana amanah pelaburan hartanah (REIT) dan menyenaraikannya di Bursa Malaysia merupakan satu langkah untuk mengambil nilai daripada pusat beli-belahnya bagi mengumpul dana untuk mengurangkan hutang.

 

Menurut MIDF Research, dengan jumlah hutang sebanyak RM3.15 bilion pada 31 Mac 2024, nisbah gear WCT sangat tinggi pada kadar 74.5% bersih. 

 

Katanya, ini akan menempatkan WCT dalam kedudukan kewangan yang lebih baik dengan jangkaan banyak lagi projek mega akan dibina di negara ini.

 

"Kami percaya rancangan REIT adalah peluang baik bagi kumpulan untuk meringankan lembaran kewangannya dan mengurangkan hutangnya. Kami menantikan butiran lanjut dari pengurusan mengenai perkara ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelas MIDF Research, cadangan REIT WCT Holdings adalah dengan menyenaraikannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, yang akan terdiri daripada hartanah peruncitan yang dimiliki oleh anak syarikat atau syarikat usahasama (JV) kumpulan ini. 

 

Katanya, ini melibatkan pelupusan hartanah oleh anak syarikat dan JV mereka keseluruhan saham mereka kepada REIT untuk dibayar dalam bentuk tunai dan unit REIT baru.

 

"WCT masih dalam proses mengenal pasti (hartanah yang akan dimasukkan) dan kami percaya ini kemungkinan akan termasuk semua pusat beli-belah milik WCT. 

 

"Kumpulan ini memiliki sepenuhnya Aeon Mall Bukit Tinggi dan Paradigm Mall Johor Bahru. Mereka juga memiliki kepentingan 70% dalam Paradigm Mall Petaling Jaya dan gateway@klia2, serta 60% dalam Subang Skypark. 

 

"Kesemua lima pusat beli-belah ini hampir mencapai penuh pengisiannya. REIT ini mungkin juga termasuk tiga hotel milik WCT, iaitu Le Meridien Petaling Jaya, Premiere Hotel Klang dan Hyatt Place Johor Bahru.," jelasnya.

 


ARTIKEL BERKAITAN: WCT raih kontrak pelebaran Lebuh Raya PLUS dari Sedenak ke Senai (Utara) bernilai RM249.74 juta

 

Sementara itu, MIDF Research menaikkan anggaran pendapatan WCT sebanyak +13.3% / +16.7% untuk memasukkan kemenangan projek yang lebih kukuh didorong oleh pelaksanaan yang lebih mantap daripad projek-projek kerajaan yang dijangka pada separuh kedua 2024.

 

Justeru, berdasarkan penyesuaian pendapatan, harga sasaran (TP) WCT dinaikkan kepada 97 sen sesaham dari 50 sen.

 

"Kami mengekalkan saranan 'Neutral' untuk WCT. Walaupun prospek kekal cerah untuk sektor pembinaan dan untuk WCT mendapatkan lebih banyak projek, kenaikan harga sahamnya yang hampir +80% sejak Jun-24, telah melenturkan penilaian untuk suatu ketika. 

 

"Kami percaya ini menunjukkan bahawa semua positif telah dipertimbangkan dalam harga sahamnya," ujarnya. - DagangNews.com