Rangka kerja baharu pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 – SC | DagangNews Skip to main content

Rangka kerja baharu pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 – SC

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan proses pemindahan yang dipercepatkan untuk memudahkan pemindahan syarikat awam tersenarai (PLC) Pasaran ACE berkelayakan ke Pasaran Utama Bursa Malaysia menerusi pindaan kepada Garis Panduan Ekuiti yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.

 

Pemindahan penyenaraian yang dipercepatkan ini sebahagian daripada pelbagai langkah pasaran modal yang diperkenalkan oleh SC untuk merancakkan pasaran saham dan mengurangkan geseran pasaran.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata Pasaran ACE kekal sebagai sumber pembiayaan penting dalam pasaran modal ekuiti Malaysia, dengan 20 penyenaraian Pasaran ACE mengumpul sebanyak RM1.26 bilion melalui tawaran awam awal setakat Oktober tahun ini.

 

 

Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin
Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin

 

 

"Proses ini akan memanfaatkan PLC Pasaran ACE yang cukup besar dan layak dengan mempercepatkan pemindahan ke Pasaran Utama untuk kebolehlihatan dan akses yang lebih besar kepada kumpulan pelabur, termasuk pelabur asing dan institusi," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pemindahan ke Pasaran Utama, iaitu pasaran terbaik bagi syarikat ternama, membuktikan bahawa PLC di Pasaran ACE telah mencapai standard dari segi kualiti, saiz dan operasi.

 

Proses pemindahan baharu yang dipermudahkan dan dipercepatkan ini seharusnya memberi insentif kepada lebih banyak syarikat tersenarai di Pasaran ACE untuk melakukan usaha berterusan bagi meningkatkan nilai korporat mereka dan mencapai pertumbuhan yang mampan untuk pemegang saham.

 

Di bawah proses baharu ini, PLC Pasaran ACE mesti, antara lain, mempunyai permodalan pasaran harian sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk enam bulan yang lalu, dan memenuhi keperluan keuntungan bagi syarikat yang ingin disenaraikan di Pasaran Utama.  

 

Garis Panduan Ekuiti yang telah disemak semula bagi memudahkan pemindahan boleh didapati di laman web https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/equity- DagangNews.com