KUALA LUMPUR 5 Feb - Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menerima penilaian 'Emas' daripada MARC Ratings untuk Rangka Kerja Kewangan Mampan berhubung program Sukuk Murabahah SRI Kemampanan ASEAN.
Sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malakoff, Rangka Kerja Kewangan Mampan ini adalah penting dalam memajukan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dengan memudahkan penggunaan hasil untuk pembangunan projek hijau dan tenaga boleh baharu (RE).
Rangka kerja ini bertujuan menyediakan garis panduan untuk pengumpulan dana masa depan syarikat melalui instrumen hutang mampan seperti, bon hijau/sosial/mampan/sukuk dan pinjaman atau pembiayaan hijau/sosial/mampan.
Dana yang diperoleh melalui instrumen ini akan digunakan untuk menggalakkan peralihan ke arah ekonomi yang lebih inklusif, cekap sumber, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan konsep Ekonomi Kitaran.
Penilaian Emas ini antaranya susulan impak sosial dan faedah alam sekitar daripada pengumpulan dana yang menyokong secara langsung 12 daripada 17 SDG.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, penilaian ini bukti kepada kesungguhan syarikat memperluaskan portfolio RE di samping mengukuhkan kerjasama strtaegik.
Katanya, pengiktirafan ini juga bertindak sebagai pemangkin untuk menyumbang secara bermakna kepada matlamat negara mencapai karbon sifar bersih 2050 sambil memastikan pemeliharaan keselamatan tenaga Malaysia.
"Sejak dua tahun lalu, kami telah meletakkan asas yang kukuh untuk mengubah Malakoff menjadi sebuah organisasi mampan, menyokong langkah Malaysia ke arah yang lebih bersih dan lebih banyak lagi ekonomi mampan.
"Kami telah mencapai kemajuan ketara dalam sektor RE dengan bekerjasama dengan pemimpin dan pelabur industri tempatan dan antarabangsa, terutamanya menumpukan pada pengembangan kehadiran kami dalam pemasangan solar dan hidro mini, serta penggunaan bahan api bebas karbon seperti biojisim," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga kini, melalui tonggak perniagaannya yang baru ditubuhkan - Malakoff Green Solutions - Portfolio RE Malakoff berjumlah 153 MW bermula daripada pelaksanaan Solar Skala Besar (LSS) dan projek Solar Atas Bumbung (RTS), kepada penjanaan kuasa hidro kecil dan pemasanganinfrastruktur mobiliti bebas karbon.
Semua inisiatif ini mengukuhkan lagi komitmen Kumpulan ke arah 'Meningkatkan Kehidupan, Memperkaya Komuniti'.- DagangNews.com