Ranhill Utilities dijangka jana hasil tambahan RM95 juta setahun jika tarif air domestik Ranhill SAJ naik, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Ranhill Utilities dijangka jana hasil tambahan RM95 juta setahun jika tarif air domestik Ranhill SAJ naik, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menganggarkan Ranhill Utilities Berhad mencatatkan hasil tambahan sebanyak RM95 juta setiap tahun dengan andaian berlaku kenaikan 22 sen semeter padu dalam tarif air domestik Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (RSAJ).

 

"Bagaimanapun, sehingga kini, butiran tarif untuk setiap negeri belum lagi didedahkan.

 

"Kenaikan tarif air biasanya disertai dengan kos yang lebih tinggi dan pembayaran pajakan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tarif air naik purata 22 sen semeter padu di Semenanjung dan Labuan mulai 1 Februari 2024 - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

 

Terdahulu, pengumuman pelarasan itu dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6%, daripada 7.9 juta pemegang akaun.

 

Kenaikan 22 sen itu adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.

 

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan caj bil naik dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelarasan itu akan menyebabkan kenaikan bil bulanan sebanyak RM1.60 hingga RM8.00 untuk isi rumah yang menggunakan 20 meter padu sebulan.

 

Katanya, kenaikan itu termasuk surcaj elektrik sebanyak 2 hingga 10 sen bagi setiap meter padu (berbeza mengikut negeri, disemak setiap tahun untuk menampung komponen ICPT kos elektrik operator) yang akan dikenakan ke atas semua pengguna (termasuk segmen bukan domestik).

 

"Surcaj elektrik 5 sen bagi satu meter padu boleh menjana hasil tambahan sekitar RM10 juta setiap tahun daripada segmen bukan domestik," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham. - DagangNews.com