Ranhill Utilities peroleh kontrak naik taraf loji rawatan air sisa bernilai RM4.01 juta di Thailand | DagangNews Skip to main content

Ranhill Utilities peroleh kontrak naik taraf loji rawatan air sisa bernilai RM4.01 juta di Thailand

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Dis -  Ranhill Utilities Bhd dianugerahkan kontrak bernilai 31.95 juta baht (RM4.01 juta) untuk menaik taraf loji rawatan air sisa di Kawasan Perindustrian Amata City, Rayong, Thailand. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat miliknya secara tidak langsung AnuRAK Water Treatment Facilities Co Ltd memperoleh kontrak daripada Amata Water Co Ltd untuk menaik taraf kapasiti loji rawatan air sisa daripada 15 juta liter kepada 20 juta liter sehari.

 

“Kontrak ini adalah untuk menaik taraf loji rawatan air sisa sedia ada, yang dibangunkan di bawah konsep Bina-Kendalikan-Pemindahan untuk tempoh konsesi selama 30 tahun, bermula dari 1 November 2013 hingga 21 Oktober 2043.

 

"Tarif air sisa di bawah kontrak ialah 9.35 baht per m3 (RM1.173 per m3) dengan tahap pengambilan minimum 13,000 m3 sehari,” kata kumpulan itu.

 

Ranhill berkata tempoh pembinaan menaik taraf kemudahan air sisa ditetapkan mengambil masa enam bulan, menurut kontrak, bermula dari 24 Disember 2021 dan dijangka siap pada 24 Jun 2022. 

 

“Projek menaik taraf Amata P4 memenuhi sasaran pertumbuhan dan meningkatkan kehadiran serta memenuhi objektif kami untuk mengembangkan perniagaan aset terkawal jangka panjang di Thailand.

 

“Selain daripada menyumbang kepada model pertumbuhan Ranhill di rantau ini, penganugerahan projek menaik taraf ini juga mencerminkan kualiti perkhidmatan dan penyelesaian teknologi khusus untuk air dan air sisa yang boleh kami gunakan untuk membantu negara di rantau ini memenuhi cabaran alam sekitar dan perindustrian jangka panjang mereka.

 

 “Industri juga akan dapat menikmati faedah ekonomi jangka panjang daripada bekalan air terawat dan rawatan air sisa,” tambahnya.

 

Kumpulan itu berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan apabila ia mula beroperasi pada Jun 2022.

 

 “Pelaburan itu dijangka menghasilkan kadar pulangan dalaman projek sebanyak 15.16% dan kadar pulangan dalaman ekuiti sebanyak 18.28% pada peringkat kumpulan,” tambahnya. -DagangNews.com