Ranhill Utilities raih kontrak reka bentuk kejuruteraan bernilai RM210 juta daripada Servizi Energia Italia | DagangNews Skip to main content

Ranhill Utilities raih kontrak reka bentuk kejuruteraan bernilai RM210 juta daripada Servizi Energia Italia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Ranhill Utilities Berhad menerusi anak syarikatnya, Perunding Ranhill Worley Sdn. Bhd. menerima kontrak daripada Servizi Energia Italia S.p.A. untuk melaksanakan kontrak reka bentuk kejuruteraan terperinci untuk dua kompleks mampatan berkaitan Projek Kompleks Mampatan Luar Pesisir Kelestarian Pengeluaran Medan Utara (NFPS).

 

Menerusi kontrak bernilai RM210 juta itu, Perunding Ranhill Worley secara prinsipnya terlibat dengan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk kemudahan minyak dan gas.

 

Menurut Perjanjian Perkhidmatan yang dimeterai antara Perunding Ranhill Worley dan Ranhill Worley sebelum ini, skop kerja di bawah kontrak untuk projek itu akan dilaksanakan oleh Ranhill Worley.

 

"Kontrak yang diberikan kepada Saipem itu merangkumi kejuruteraan, perolehan, fabrikasi dan pemasangan dua kompleks mampatan gas asli luar pesisir yang bertujuan untuk mengekalkan pengeluaran North Field, termasuk dua daripada platform mampatan keluli tetap terbesar yang pernah dibina, platform suar, jambatan bersambung, tempat tinggal dan modul antara muka.

 

"Aktiviti yang dianugerahkan kepada PRW dijangka siap pada suku ketiga 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, Tan Sri Hamdan Mohamad merupakan pengarah dan pemegang saham utama dalam PRW dan beliau merupakan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Ranhill dan pemegang saham besar Ranhill.

 

Penyediaan perkhidmatan kejuruteraan oleh Ranhill Worley kepada PRW untuk projek berkenaan adalah transaksi pihak berkaitan berulang (RRPT) yang berada dalam perjalanan biasa perniagaan dan atas syarat yang tidak lebih menguntungkan beliau, pihak berkaitan yang berkenaan, daripada yang tersedia untuk umum.

 

Ranhill telah memperolehi pembaharuan mandat pemegang sahamnya untuk RRPT di atas pada Mesyuarat Agung Tahunan kelapan yang diadakan pada 2 Jun 2022. 

 

Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan 2024.

 

"Risiko untuk projek itu termasuk risiko biasa berkaitan dengan prestasi perkhidmatan kejuruteraan yang merupakan perjalanan biasa perniagaan Ranhill Worley, risiko tersebut akan ditangani dan dikurangkan melalui prosedur serta proses operasi standard.

 

"Ranhill Worley terlibat dalam sektor tenaga, kimia dan sumber dengan kerjasama Worley Limited (Worley) sepanjang 25 tahun yang lalu menggunakan keupayaan dan pengalamannya dalam memastikan semua risiko dikenal pasti, dan diatasi dengan betul," katanya. - DagangNews.com