KUALA LUMPUR 9 Feb - Kenanga Research menjangkakan langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan berpotensi melemahkan perbelanjaan pengguna dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan jualan pada masa hadapan.
Katanya, kadar pengangguran diunjurkan berada pada purata 3.3% tahun ini, turun daripada anggaran 3.5% pada 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan jualan dijangka stabil dalam tempoh terdekat, meningkat sebanyak satu digit, disokong oleh peningkatan pelancong dan pasaran tenaga kerja yang stabil.
"Kami mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023 pada paras 3.7% melebihi anggaran awal Jabatan Perangkaan (DOSM) sebanyak 3.4% dengan KDNK tahun penuh 2023 dijangka antara 3.5% hingga 4% berbanding 8.7% pada 2022.
"Bagi 2024, kami mengunjurkan pertumbuhan berkembang kepada 4.9%, didorong pengembangan sektor pembuatan, terutamanya industri berorientasikan eksport, disebabkan jangkaan kitaran teknologi dan pemulihan beransur-ansur di China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini
ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat RM1.7 trilion jualan tahunan pada 2023 - DOSM
Selepas mencatatkan kadar pengembangan dua angka pada 2022, perdagangan pengedaran Malaysia mencatatkan pertumbuhan 7.7% pada tahun berikutnya.
Jualan kenderaan bermotor masih pada kadar dua digit 12.3% (2022: 47.6%) manakala perdagangan borong dan runcit masing-masing meningkat sebanyak 5.2% (2022: 10.7%) dan 9% (2022: 23.9%).
Pada bulan terakhir 2023, keseluruhan perdagangan dalam negeri meningkat dengan stabil sebanyak 4.8% disokong oleh pertumbuhan dalam ketiga-tiga komponen. - DagangNews.com