Reformasi struktur ekonomi mampu bawa pelaburan berkualiti kepada Malaysia - Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

Reformasi struktur ekonomi mampu bawa pelaburan berkualiti kepada Malaysia - Standard Chartered

Lebih banyak pelaburan berkualiti dijangka diterima Malaysia, kata Standard Chartered. Gambar hiasan NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Julai – Reformasi struktur ke atas ekonomi negara yang merangkumi rasionalisasi subsidi serta usaha kerajaan memperoleh pertumbuhan mampan menerusi beberapa polisi yang diumumkan sebelum ini diunjurkan mampu membawa pelaburan berkualiti kepada Malaysia.

 

Ketua Kekayaan dan Perbankan Runcit Standard Chartered Malaysia, Sammeer Sharma berkata, antara polisi kerajaan itu termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS).

 

"Pelabur juga perlu mengambil perhatian terhadap perubahan landskap pelaburan di Malaysia. Pelaburan di dalam negara telah meningkat dengan FBM KLCI mencatat pulangan sebanyak 12.7% sepanjang tahun ini. 

 

"Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan mencatat rekod pada tahun 2023 dan kini muncul sebagai kuasa pusat data di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit diunjur meningkat ke RM4.60 akhir tahun, KLCI berpotensi cecah 1,680 mata - Maybank IB

 

stand

 

Menurut beliau, Pasukan Penyelidikan Global Standard Chartered juga menjangkakan Ringgit akan mengukuh sedikit berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat ini.

 

Jelas Semeer, ia memandangkan asas domestik yang kukuh dan pemotongan kadar Rizab persekutuan AS yang akan datang," tambahnya.

 

Pada tahun lalu, katanya, Standard Chartered telah melancarkan Dana CIO Signature yang terdiri daripada empat dana pelaburan pelbagai aset global yang direka untuk memberikan akses kepada pandangan Pejabat Ketua Pelaburan Bank (CIO). 

 

"Sejak itu, siri portofolio asas yang memenuhi pelbagai profil risiko dan pendapatan telah berjaya mengumpulkan hampir RM1 billion," ujar beliau. - DagangNews.com